- Iklan -
Berita

Di mana Malaysia dalam kedudukan dunia ketika WHO beri amaran lonjakan kes Covid-19

Pakar beri amaran tentang peningkatan kes di seluruh dunia berpunca daripada varian baru.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi

Malaysia berada di kedudukan pertengahan dalam senarai negara-negara Asia dari sudut jumlah kematian berbanding populasinya walaupun terdapat peningkatan jumlah korban akibat Covid-19 yang meragut lebih dari 6,000 nyawa setakat ini.

Data yang dikumpulkan Worldometer, sumber statistik yang dipercayai secara global dan dirujuk oleh kerajaan dan organisasi media antarabangsa, meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-26 dari 49 buah negara mengikut kadar kematian bagi setiap satu juta populasinya.

Senarai itu menunjukkan jumlah kematian Malaysia setakat ini masih lebih rendah berbanding negara-negara yang memiliki populasi jauh lebih kecil seperti Israel, Jordan, Lubnan dan Azerbaijan, atau negara yang memiliki jumlah penduduk yang serupa seperti Arab Saudi dan Nepal.

Bagaimanapun, lonjakan kematian akibat Covid-19 sejak kebelakangan ini mungkin boleh menyebabkan Malaysia diletakkan di kedudukan yang lebih tinggi dalam senarai tersebut.

Malaysia juga turut berada di kedudukan yang sama dalam senarai global – iaitu di kedudukan ke-119 – daripada 222 negara dari sudut kematian berbanding jumlah sejuta populasi.

Senarai itu bagaimanapun diungguli Peru, Hungary dan Bosnia & Herzegovina.

Peru yang memiliki jumlah penduduk sebanyak 32.5 juta mencatatkan lebih dari 194,000 kematian, diikuti Hungary yang mencatatkan sekitar 30,000 orang daripada 10 juta penduduknya terkorban.

Kanada, negara lain yang memiliki jumlah penduduk yang mirip dengan Malaysia, mencatatkan lebih dari 26,000 kematian sejak wabak itu bermula, empat kali melebihi jumlah kematian di Malaysia.

“Namun dengan hampir separuh rakyat di Kanada diberi vaksin, jumlah kematian di sana berkurang secara drastik menjadi kurang dari 10 orang,” kata seorang pegawai kementerian kesihatan yang enggan dinamakan kepada MalaysiaNow.

“Harapan masih diletakkan dalam usaha mencapai imuniti kelompok, data di seluruh dunia menunjukkan penurunan mendadak dalam kematian harian di negara-negara yang menyaksikan kejayaan program vaksinasinya.

“Oleh itu, ketika keadaan kita dari sudut statistik masih tidak seburuk negara-negara lain sebelum program vaksinasi, kita tidak boleh leka dan ia sangat berkaitan dengan pengawasan individu,” tambahnya.

Kes harian dan kematian akibat Covid-19 dalam negara terus menunjukkan peningkatan walaupun selepas beberapa minggu sekatan pergerakan penuh dijalankan di bawah perintah kawalan pergerakan.

Keadaan ini turut menyaksikan sebahagian rakyat Malaysia menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa bimbang sekiranya negara kalah dalam memerangi pandemik Covid-19.

Semalam, rekod tertinggi dicatat sebanyak 9,353 jangkitan baru dilaporkan, selain 87 kematian lagi direkodkan menjadikan kes kematian keseluruhan sebanyak 6,067.

Kes harian paling banyak direkodkan di Lembah Klang, dengan Selangor menjadi negeri terkerap mencatat separuh daripada jumlah keseluruhan jangkitan seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata hal itu adalah hasil daripada ujian saringan besar-besaran yang dilaksanakan di negeri itu.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata peningkatan kes adalah trend global ketika ini.

“Kita sedang kesan pusingan virus ini di seluruh dunia dan kita melihat lonjakan jangkitan di banyak negara ketika ini,” kata Ketua Teknikal WHO bagi Covid-19 Maria Van Kerkhove awal minggu ini.

Walaupun mengungguli program vaksinasi global, Eropah menyaksikan peningkatan kes sebanyak 33% minggu lalu.

United Kingdom, di mana lebih daripada separuh penduduknya menerima vaksin lengkap melaporkan 32,367 kes baru semalam dengan 34 korban dicatat, ia adalah angka tertinggi sejak Januari.

Dalam pada itu, wujud peningkatan sebanyak 8.6% di Asia Tenggara, Indonesia ketika ini mencatat kematian harian sekitar 1,000 orang berdasarkan data rasminya.

Van Kerkhove berkata antara faktor-faktor lonjakan kes global adalah kerana peningkatan pergerakan sosial selain berlakunya pengedaran vaksin yang tidak adil.

“Kami tahu percampuran dan pergerakan sosial orang ramai semakin meningkat di seluruh dunia. Hal ini menyebabkan penularan kerana anda buat orang berkumpul beramai-ramai jika tak ada intervensi dilaksanakan.”

WHO turut memberi amaran kadar vaksinasi boleh menyebabkan salah anggap terhadap keselamatan diri ketika berdepan pandemik yang setakat ini telah membunuh lebih dari 4 juta orang dan menjejaskan ekonomi dunia akibat sekatan yang dijalankan setiap hari.

“Ini bukan keluk yang landai, ini adalah keluk yang terus meninggi. Untuk beranggapan jangkitan tak meningkat kerana kita mahu buka negara susulan vaksinasi, adalah anggapan yang salah. Jangkitan akan meningkat jika anda buka negara,” kata Dr Mike Ryan, ketua Program Darurat Kesihatan WHO baru-baru ini.

Noor Hisham bagaimanapun bersikap optimis keadaan akan menjadi lebih baik di Malaysia, mengatakan kes akan menjadi stabil dan menurun dalam masa satu atau dua minggu lagi.

“Saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan pergerakan) kita akan lihat jumlah kes lebih stabil serta menunjukkan penurunan dalam seminggu lebih atau dua minggu. Pada masa sama, proses vaksinasi perlu dipercepatkan.”

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menyaksikan lebih kurang 11 juta rakyat mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, dengan menyasarkan imuniti kelompok dicapai pada Disember.