Tuesday, July 27, 2021

Covid-19 buat muzik di jalanan tak lagi kedengaran

Penyanyi terkenal bertukar pemuzik jalanan lakukan pelbagai kerja berdepan cabaran pandemik.

Other News

Wabak Covid-19 yang menyaksikan ramai penggiat seni berdepan keperitan untuk meneruskan kelangsungan hidup khususnya pemuzik jalanan, apabila banyak aktiviti yang dilakukan untuk memperoleh sumber pendapatan terhalang disebabkan sekatan pergerakan.

Antara mereka itu adalah Norimah Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan Abot yang pernah popular sebagai seorang penyanyi wanita alternatif pada tahun 1990-an.

Wanita berusia 46 tahun itu berkata, wabak Covid-19 mengakibatkan beliau terpaksa menghentikan seketika kerjaya sebagai pemuzik jalanan dan mencari sumber lain demi kelangsungan hidup.

Abot dan suaminya, Mohd Rafli membuat persembahan di pusat membeli-belah sebelum pandemik melanda negara.

“Dulu ibu-bapa kita alami darurat akibat peperangan, sekarang kita pula berdepan dengan kuman kecil yang tak nampak tapi sangat bahaya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Abot kerjaya sebagai pemuzik jalanan sudah dilakukannya bersama suami dan beberapa individu lain sejak 2015 lagi

Ditanya apakah beliau melakukan pekerjaan lain seperti berniaga atau paling tidak membuat persembahan secara dalam talian.

“Kami bukan makan gaji, jadi betul-betul. mengharapkan rezeki daripada hasil bergerak. Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP), kami banyak habiskan masa di rumah,” katanya.

“Jadi sekarang kami buat sedikit kerja seperti hasilkan lagu dan lirik di bawah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP), Alhamdulilah ada dapat pulangan. Tapi kami tidak boleh mengharapkan kerja ini sahaja.

“Keadaan kami masih terkawal, orang lain lebih kesian, tapi bila tak bergerak cari rezeki, lama-lama akan kering juga,” tambahnya.

Namun beliau bersyukur masih mendapat pelbagai bantuan terutama dari pihak Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Abot turut memaklumkan bagi mendapatkan rezeki, beliau juga membuat akaun YouTube tetapi masih belum berhasil memberikan perolehan.

Antara lain lagi kerja yang dilakukannya termasuk mendapat tawaran membaca sajak secara dalam talian dan membuat kerja penyuntingan video.

Sebelum Covid-19, Abot sering dilihat membuat persembahan di Wangsa Maju, Setia Alam, Cheras dan sekitar ibu kota.

Sebelum bergelar pemuzik jalanan, Abot pernah terkenal pada 1996 apabila muncul dengan album pertamanya berjudul Alternatif Buat Orang Timur.

Malah beliau menerima penghargaan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) apabila memenangi Kulit Album Terbaik 1997 serta layak ke Separuh Akhir Juara Lagu (Muzik Muzik) tahun sama anjuran TV3.

Ini termasuk memperoleh pengiktirafan dari Malaysia Book of Records selepas dinobatkan sebagai Penyanyi Alternatif Solo Wanita Pertama pada 1997.

Diikuti dengan album kedua berjudul Tak Tahu pada 1997 dan terakhir iaitu Sayang Pok Pai (2002).

Abot yang pernah popular dengan lagu Camar, pada 1999, Abot berkahwin dengan pemain gitar kumpulan Thrash Metal, Jac FTG atau nama asalnya Mohd Rafli serta dikurniakan dua orang anak iaitu Siti Khadijah, 20 dan Siti Hajar, 13.

Beliau juga bergelar penulis novel, antara karyanya adalah seperti “Tinggal Jangan Lepaskan”, “Demi Cinta Khisa” dan “Demi Cinta Khisa 2”.

Biarpun Covid-19 boleh dikatakan sebagai satu malapetaka yang menimpa seluruh dunia, Abot menyifatkan pandemik ini sebagai satu cabaran kepada dirinya supaya maju ke hadapan.

“Ujian yang Allah turunkan ini bukannya menyusahkan kita, mesti ada perkara positif yang lebih baik dan perlu kita fikirkan, saya sentiasa positif,” katanya.

 

 

 

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles