- Iklan -
Berita

Kebimbangan timbul berhubung keputusan Selangor kenakan caj Selvax 8 kali ganda berbanding Pikas

Ketika sebahagian syarikat bersedia membayar kos yang tinggi, sebahagian syarikat lain memilih untuk menunggu alternatif lebih murah di bawah PICK atau Pikas.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberikan vaksin Pfizer Bio-NTech kepada penduduk yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya.
Petugas kesihatan memberikan vaksin Pfizer Bio-NTech kepada penduduk yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya.

Kebimbangan timbul berhubung inisiatif vaksinasi dijalankan kerajaan Selangor dalam kalangan pekerja industri di negeri itu mungkin terjejas akibat caj tinggi yang dikenakan, ketika negeri itu terus melaporkan jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi dan disalahkan kerana menjadi punca keputusan tidak popular melaksanakan “lockdown” terpaksa diambil.

Program vaksinasi Selangor, Selvax, yang menyasarkan inokulasi sekitar satu juta pekerja, akan mengenakan harga caj kepada majikan hampir lapan kali ganda bagi setiap individu berbanding program serupa yang dilaksanakan Putrajaya untuk vaksinasi sektor industri.

Di bawah program yang akan dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan negeri, majikan akan dikenakan bayaran RM350 untuk menyelesaikan dua dos vaksin.

Berbanding, Pikas, yang merupakan program vaksinasi industri secara besar-besaran yang dilancarkan bulan lalu oleh kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) yang hanya mengenakan caj sebanyak RM45 bagi setiap pekerja dengan kosnya ditanggung oleh majikan.

Jumlah minimum 1,000 pekerja menjadi syarat dalam pelaksanaan Pikas, di mana syarikat harus mengenal pasti tempat vaksinasi yang sesuai mengikut peraturan ditetapkan kementerian kesihatan.

Syarikat-syarikat dalam lokaliti yang sama boleh bergabung untuk mencukupkan syarat 1,000 pekerja tersebut.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) juga mengesyorkan penggabungan bagi memenuhi syarat menjalankan Pikas, namun mengatakan syarikat-syarikat itu juga mungkin perlu bersedia untuk membiayai kos yang lebih tinggi di bawah Selvax kerana manfaatnya melebihi kemungkinan kerugian yang terpaksa ditanggung akibat “lockdown” yang berterusan.

“Untuk pilihan kos kos (kerugian) penggunaan yang mungkin lebih tinggi, banyak majikan memilih untuk menggunakan kos penuh di bawah Selvax,”kata presiden MEF Syed Hussain Syed Husman kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata, hal ini bergantung kepada majikan untuk memilih Selvax atau Pikas, atau membiarkan pekerja memilih Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui aplikasi MySejahtera.

Syed Hussain yakin syarikat kecil akan bersedia membayar RM350 bagi setiap pekerja di bawah Selvax.

Bagaimanapun beberapa syarikat berskala sederhana dengan 100-200 pekerja memberitahu MalaysiaNow mereka tidak akan memilih Selvax kerana kos tinggi yang terpaksa ditanggung.

“Kami memilih menunggu alternatif lebih murah yang ditawarkan kerajaan (persekutuan), atau bergabung dengan syarikat lain untuk memenuhi syarat Pikas,” kata seorang eksekutif syarikat di Sungai Buloh.

Ia adalah sentimen yang dikongsi majikan syarikat yang hanya mahu dikenali sebagai Chin yang memiliki sekitar 120 orang pekerja di kilang yang terletak di luar Shah Alam.

Dia berkata syarikatnya kerugian puluhan ribu ringgit setiap hari akibat perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Selangor.

Chin turut menambah dapat menjimatkan hampir RM40,000 jika bergabung dengan kilang lain di kawasannya untuk pelaksanaan Pikas.

“Ketika kita diberitahu untuk lockdown selama dua minggu lalu, banyak wang yang kita rugi, lebih baik kita belanjakan untuk bayar gaji pekerja,” kata Chin.

Ketika dihubungi, Rodziah Ismail, salah seorang dari dua exco yang ditugaskan untuk memantau vaksinasi di bawah Selvax, memberikan kepada MalaysiaNow sebuah laporan berita di Selangorkini.

Laporan itu menyebut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan bahawa negeri itu memperoleh keuntungan daripada Selvax, mengatakan bahawa kosnya bukan hanya untuk vaksin.

“Jangan lihat vaksin hanya vaksin dan kotak vaksin, kita juga menyusun lebih dari 5,000 petugas dan kita juga menggunakan kos-kos khusus untuk pusat pemberian vaksin (PPV) dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan kos yang berkaitan.

Perincian yang dikeluarkan oleh Miti mengenai program Pikas menunjukkan caj RM45 bagi setiap pekerja merangkumi RM30 untuk kos berkaitan persiapan pusat vaksinasi, dan RM15 untuk kos pengurusan vaksin kepada ProtectHealth, syarikat kementerian kesihatan yang ditugaskan untuk perkhidmatan kesihatan awam.

Walaupun Putrajaya tidak menyebut kos pelbagai vaksin diperolehnya setakat ini kerana perjanjian yang ditandatangani dengan pembekal, MalaysiaNow difahamkan oleh seorang sumber ia menelan belanja lebih dari RM80 untuk setiap dos vaksin.

“Harga ini adalah anggaran bagi vaksin yang harganya lebih tinggi,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

Malahan, dia berkata harga tersebut dapat diturunkan melalui pembelian secara pukal.

Usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan penjelasan daripada pelbagai pihak yang bertanggungjawab dalam usaha Selangor memerangi Covid-19 setakat ini gagal diperolehi.

Program vaksinasi Malaysia mendapat momentumnya sejak dilancarkan pada bulan Mac.

Semalam, negara mencatatkan jumlah suntikan dos tertinggi sebanyak 376,909, dengan lebih dari 10 juta orang menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin.

* Aliff Fikri turut menyumbang dalam laporan ini.