- Iklan -
Berita

Gagal patuh SOP ketika main permainan video cetus kluster di Sabah

Kes indeks merupakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dikesan positif di Beaufort pada 29 Jun lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ujian swab dilakukan etugas kesihatan bagi mengesan jangkitan Covid-19.
Ujian swab dilakukan etugas kesihatan bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal ketika aktiviti permainan video dalam kalangan belia menjadi punca tercetusnya Kluster Lumadan di Beaufort yang mencatat 46 kes positif Covid-19 sehingga hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata kes indeks merupakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dikesan positif di Beaufort pada 29 Jun selepas bergejala demam dan batuk sejak 24 Jun.

“Kluster ini melibatkan penularan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan sekerja dari pelbagai lokaliti di sekitar Mukim Lumadan (Beaufort).

“Sebanyak 110 ujian saringan telah dilakukan dengan 46 kes postif dikesan dalam kluster ini,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Satu lagi kluster baru direkodkan hari ini iaitu kluster Istimewa Dua di Sandakan yang melibatkan 27 kes positif hasil saringan ke atas 261 individu di kawasan itu.

“Kluster ini melibatkan jangkitan dalam komuniti di lokaliti Kampung Istimewa di Sandakan membabitkan kes indeks seorang lelaki berusia 48 tahun dikesan positif pada 25 Jun di Sandakan, kampung yang sama pernah merekodkan kluster pada 14 November lepas,” katanya.

Beliau berkata Sabah hari ini merekodkan 279 kes baru menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 71,468 manakala 203 pesakit pulih menjadikan jumlah yang sembuh ialah 68,739 orang.