- Iklan -
Berita

Urusan berjalan seperti biasa bagi kerajaan PN, ahli Parlimen Umno tidak ikut keputusan parti

Sebarang keputusan parti politik itu mengenai sokongannya kepada kerajaan ketika ini tidak mempunyai kesan undang-undang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kelangsungan pentadbiran Muhyiddin adalah sama ada beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen seperti yang termaktub dalam Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan.
Kelangsungan pentadbiran Muhyiddin adalah sama ada beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen seperti yang termaktub dalam Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan.

Urusan pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa bagi Perikatan Nasional (PN) walaupun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan parti itu menarik sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana sebarang keputusan parti politik itu berhubung sokongannya kepada kerajaan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Disebabkan itu, apa yang bakal menentukan kelangsungan pentadbiran Muhyiddin adalah sama ada beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen seperti yang termaktub dalam Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perlembagaan, perdana menteri hanya perlu meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak mendapat sokongan undi percaya di Dewan Rakyat.

Dengan perpecahan yang berlaku dalam Umno kepada beberapa kumpulan, kenyataan presidennya perlu diuji, kata seorang peguam kanan Perlembagaan.

“Situasi ketika ini tidak stabil dan tidak ada kewajipan untuk beliau letak jawatan pada tahap ini. Beginilah pembacaan yang betul terhadap Arikel 43(4), yang kebelakangan ini difahami secara simplistik dan memiliki kecenderungan menimbulkan perbalahan oleh beberapa pihak,” kata peguam kanan itu kepada MalaysiaNow.

Dalam pada itu, difahamkan majoriti besar ahli Parlimen Umno kekal dengan keputusan mereka untuk tidak menarik sokongan terhadap Perdana Menteri walaupun presidennya mengumumkan pendirian parti itu awal pagi tadi.

Sumber kanan dari Umno berkata hanya beberapa ahli Parlimen yang menyokong Zahid termasuk Najib Razak dan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang sudah memutuskan untuk menarik sokongan terhadap perdana menteri.

“Yang lain dijangka akan keluarkan kenyataan bersama hari ini,” katanya.

MalaysiaNow juga difahamkan Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat semalam turut memberikan kebebasan kepada ahli Parlimen untuk tidak mengikut keputusannya dalam menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Langkah tersebut bukan sahaja bermaksud urusan pentadbiran berjalan seperti biasa bagi kerajaan PN, bahkan menunjukkan Zahid berada di kedudukan paling lemah sejak memenangi jawatan presiden parti dua tahun lalu yang tidak mampu menggunakan kuasa presidennya untuk memaksa ahli-ahli parti sebulat suara menyokong beliau.