- Iklan -
Berita

Mustahil penerima diberi suntikan tanpa vaksin, kata JKNS

Program pemberian vaksin sentiasa dijalankan mengikut kaedah terbaik yang ditentukan oleh pihak KKM.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan dari Pusat Kesihatan Tangling membuat persediaan vaksin sebelum memberikan suntikan dos kedua kepada penghuni Pusat Transit Gelendangan Kuala Lumpur di Anjung Kelana, Taman Desa, Kuala Lumpur.
Petugas kesihatan dari Pusat Kesihatan Tangling membuat persediaan vaksin sebelum memberikan suntikan dos kedua kepada penghuni Pusat Transit Gelendangan Kuala Lumpur di Anjung Kelana, Taman Desa, Kuala Lumpur.

Agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima seperti yang ditularkan, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata pusat pemberian vaksin (PPV) sentiasa memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kementerian kesihatan (KKM) dan penyelarasan di peringkat hospital secara holistik telah diambil serta pemantauan berterusan dilakukan di peringkat pengurusan tertinggi hospital.

“Pihak hospital ingin menegaskan bahawa program pemberian vaksin sentiasa dijalankan mengikut kaedah terbaik yang ditentukan oleh pihak KKM malah penambahbaikan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa pada tahap optimum,” katanya.

Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) malam tadi, beliau berkata beberapa perkara ditekankan semasa program pemberian vaksin iaitu vaksinator atau pemberi vaksin yang terlibat dipastikan terdiri daripada kakitangan yang bertauliah dan terlatih serta dilantik secara rasmi oleh JKNS.

Dr Sha’ari berkata sekurang-kurangnya dua kakitangan terlibat dalam tugasan pemberian vaksin di setiap stesen vaksin yang bertindak sebagai vaksinator manakala seorang lagi sebagai penyedia vaksin dan saksi semasa pemberian vaksin dilakukan.

“Penyedia vaksin akan membuat persiapan vaksin dan menyedut vaksin ke dalam picagari khas mengikut sukatan yang ditentukan dan menyerahkannya kepada vaksinator atau meletakannya di dalam wadah khas yang berdekatan dengan vaksinator,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, penyedia vaksin bertanggungjawab memastikan tiada picagari kosong yang belum berisi vaksin berada di atas troli vaksinator.

“Sebelum vaksin disuntik, vaksinator bertanggungjawab memastikan jenis vaksin yang akan diberikan kepada penerima berdasarkan tagging yang dibuat semasa proses pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata prosedur suntikan vaksin perlu dilakukan mengikut kaedah piawaian suntikan intramuscular dan setelah suntikan diberikan, picagari kosong akan dibuang ke dalam sharp bin (bekas alatan tajam) yang terletak berdekatan vaksinator.

“Dengan pematuhan terhadap langkah-langkah di atas, adalah agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima,” katanya.

Semalam, tular satu laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan suntikan vaksin di sebuah hospital dan perkara itu disahkan polis Kuala Langat yang sedang menyiasat kes itu.