- Iklan -
Berita

Kenyataan Zahid bercanggah dengan perbincangan MKT, kata Annuar Musa

Kenyataan yang dibaca Zahid semalam adalah kenyataan yang disiapkan lebih awal sebelum MKT Umno bermesyuarat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa.
Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa.

Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa hari ini berkata kenyataan Ahmad Zahid Hamidi bercanggah dengan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) secara maya semalam.

“Presiden umno wajib menjelaskan kedudukan sebenar. Segera keluar kenyataan yang benar.

“Lambat laun,kedudukan sebenar akan terserlah jua. Tak baik bagi parti kita,” katanya dan menambah apa yang dibaca Zahid semalam adalah kenyataan yang disiapkan lebih awal sebelum MKT bermesyuarat.

Beliau berkata beberapa ahli MKT menyatakan kenyataan Zahid semalam tidak menggambaran keputusan mesyuarat.

“Tinjauan lanjut menyatakan apa yang di baca kepada media adalah kenyataan yang disiapkan lebih awal.

“Jika benar,ternyata sekali lagi MKT dipermainkan,dan ini amat serius,” tambahnya yang juga merupakan menteri wilayah persekutuan.

Annuar turut berkata mesyuarat bersama 25 ahli MKT semalam berjalan dalam suasana yang agak tenang dan jujur walau banyak perbezaan pendapat namun tiada undian dibuat ketika mesyuarat.

“Malah perbincangan tidak berkisar pada sama ada Umno perlu keluar dari kerajaan PN, seperti yang dimomokkan sebelum ini, termasuk pendirian yang dimohon daripada pertemuan secara berasingan dengan ahli MKT.”

Awal pagi tadi, Zahid mengadakan sidang media secara dalam talian mengumumkan parti itu menarik sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekaligus mendesak beliau meletakkan jawatan.

Beliau memberi alasan kerajaan gagal mengangkat aspirasi rakyat dan gagal menguruskan krisis pandemik Covid-19 dan peletakan jawatan Muhyiddin perlu diganti oleh perdana menteri sementara secara serta-merta.

Selain mengumumkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin, beliau juga turut menyatakan Umno tidak akan sesekali menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri atau penubuhan kerajaan ditunjangi Pakatan Harapan (PH).