- Iklan -
Berita

Tekanan berterusan, ahli Umno lapor polis pembohongan Zahid terhadap Agong

Laporan polis dibuat untuk meminta polis menyiasat sama ada Zahid berbohong terhadap Agong dan melakukan kesalahan terlibat konspirasi menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dianggap telah menipu ahli Umno dalam laporan ahlinya kepada pihak polis. Gambar: AP
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dianggap telah menipu ahli Umno dalam laporan ahlinya kepada pihak polis. Gambar: AP

Satu laporan polis dibuat terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana kemungkinan membohong Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah ketika mengadap di Istana Negara, lapor Utusan Malaysia.

Individu yang merupakah ahli Umno itu turut melaporkan pengakuan presiden Umno itu tentang suaranya yang tular dalam sebuah klip audio bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

“Ya, laporan polis dibuat kira-kira pukul 11 pagi tadi. Ia berhubung pengakuan presiden Umno tentang suaranya yang tular serta pendedahan percakapan beliau bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah,” katanya dipetik sebagai berkata.

Menurut akhbar berbahasa Melayu itu, laporan yang dibuat tersebuat adalah bertujuan meminta polis menyiasat kenyataan Zahid yang menafikan penglibatannya dirinya dalam audio yang tular tersebut.

“Kenyataan itu menimbulkan kekeliruan kepada ahli Umno seperti saya dan membuatkan saya rasa tertipu dengan beliau.

“Laporan polis ini juga dibuat untuk meminta polis menyiasat sama ada Zahid melakukan penipuan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan melakukan kesalahan dengan keterlibatan dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan Malaysia yang mengganggu-gugat keamanan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini kedua-dua Zahid dan Anwar tidak pernah mengakui tentang suara mereka dalam audio tersebut.

Bagaimanapun Anwar dalam sebuah program mengatakan tidak ada masalah sekiranya audio tersebut tulen walaupun tidak mengesahkan atau menafikannya.

April lalu, MalaysiaNow mendedahkan rakaman klip audio itu, Zahid menafikannya dan mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis.

Anwar juga dalam responsnya mengatakan rakaman audio tersebar itu merupakan perancangan Bersatu untuk “menikam” pemimpin-pemimpin Umno.