- Iklan -
Berita

PKPD di Seremban berkuat kuasa dari 9 hingga 22 Julai

Selain Seremban, beberapa lokaliti di Johor, Sabah, Kelantan dan Pahang turut dikenakan PKPD.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana PKPD di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur.
Suasana PKPD di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan seluruh daerah Seremban diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula 9 hingga 22 Julai 2021.

Dalam sebuah kenyataan beliau berkata kementerian kesihatan (KKM) mendapati terdapat peningkatan kes di daerah itu dengan 5,504 kes aktif direkodkan setakat ini.

“KKM juga mengesahkan penularan kes masih berlaku dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini sekali gus memerlukan kaedah pemutusan jangkitan dengan segera.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan berkuat kuasa 9 Julai sehingga 22 Julai 2021,” katanya.

Menurut Ismail, pelaksanaan PKPD ini adalah bagi mengawal pergerakan penduduk di kesemua mukim yang terlibat serta mengekang penularan Covid-19.

Dalam pada itu, beberapa lokaliti di Sabah, Kelantan dan Johor turut diletakkan di bawah PKPD.

Sabah: Kampung Sungai Imam (Tawau), Kampung Lembising dan Kampung Dumpil Keramat (Putatan), Kondominum One Borneo (Kota Kinabalu) Kampung Balibata (Beaufort) Kampung Pintasan (Kota Belud), Kampung Istimewa (Sandakan).

Pahang: Kuarters Pekerja Malaysia-China MCKIP (Kuantan)

Johor: Kawasan Perindustrian Indahpura, Kawasan Perindustrian Senai

Kelantan: Taman Perumahan Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf (Kota Bharu).

Dalam sebuah kenyataan lain susulan pelantikan beliau sebagai timbalan perdana menteri, Ismail mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan perdana menteri kepada beliau.

Beliau turut berterima kasih kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti serta seluruh rakyat di atas sokongan yang diberikan kepada beliau.

“Doa saya semoga kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dapat bersama-sama membawa Malaysia mencapai masa depan yang lebih cemerlang.”