- Iklan -
Berita

Ismail Sabri dilantik sebagai TPM, Hishammuddin menteri kanan

Ia diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan.

Dalam sebuah kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Ismail Sabri kekal memegang portfolio menteri pertahanan, namun kluster keselamatan yang diketuai beliau akan diambil alih oleh Hishammuddin sebagai menteri kanan luar negeri.

“Pelantikan ini akan dapat membantu perdana menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

“Di samping itu, perdana menteri bersetuju supaya Dato’ Seri Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Menurut kenyataan yang sama, pelantikan tersebut telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan timbalan perdana menteri hari ini mengisi kekosongan jawatan itu dalam Kabinet sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.

Ia juga diumumkan selepas beberapa mesyuarat dalam kalangan ahli Parlimen dan anggota Kabinet Umno yang menyaksikan cadangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mahu partinya keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditolak pimpinan parti tersebut.

Hishammuddin kini menyertai tiga lagi menteri kanan dalam Kabinet: Mohamed Azmin Ali, Radzi Jidin dan Fadillah Yusof.

Ismail merupakan ahli Parlimen Bera, Pahang sejak Mac 2004. Beliau menjadi pembangkang di Dewan Rakyat sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan PH.

Di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau memegang beberapa portfolio Kabinet di bawah pentadbiran yang diketuai Najib Razak dan Abdullah Ahmad Badawi.

Antara portfolio tersebut termasuk menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, pertanian, perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan serta belia dan sukan.