- Iklan -
Berita

AS, Eropah beri amaran provokasi Iran bakal jejas rundingan nuklear

Usaha Iran memperkaya uranium di negaranya disifatkan sebagai tindakan 'menempah bahaya'.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Mesin di kemudahan pemerkayaan  uranium di Natanz, Iran. Gambar: AP
Mesin di kemudahan pemerkayaan uranium di Natanz, Iran. Gambar: AP

Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah memberi amaran kepada Iran, susulan usaha baru pemerkayaan uranium di negara itu boleh menjejaskan rundingan nuklear di Vienna.

Washington turut menggesa Tehran untuk menghentikan usaha yang disifatkan sebagai “menempah bahaya” tersebut.

Kecaman merentasi Atlantik itu berlaku beberapa jam selepas Badan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan Iran mahu memperkaya uranium sehingga 20% ketika usaha terbaru perbincangan nuklear berpusat di Vienna itu diadakan bagi menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 (JCPOA).

“Kami terus mendesak Iran untuk hentikan usaha yang menempah bahaya ini, kembali ke Vienna dan sertai perbincangan sebenar, dan sedia untuk selesaikan rundingan,” yang dihidupkan semula pada April, kata jurucakap Jabatan Luar Negeri, Ned Price.

Tindakan Iran itu adalah langkah baru membangunkan bahan yang boleh digunakan bagi pembuatan senjata nuklear.

“Sangat membimbangkan Ira memilih untuk teruskan usaha tersebut dan tidak komited dengan JCPOA, lebih-lebih lagi dalam eksperimen yang boleh meningkatkan kajian senjata nuklear,” kata Price.

“Ini adalah langkah mundur yang diambil oleh Iran.”

Kuasa Eropah juga turut bersuara dengan Menteri Luar Britain, Perancis dan Jerman menyatakan keprihatinan mereka dan memberi amaran langkah Iran boleh menjejaskan perbincangan yang sedang diusahakan.

“Menerusi langkah terbarunya, Iran mengancam hasil rundingan Vienna walaupun kemajuan dicapai dalam enam pusingan rundingan setakat ini,” kata menteri berkenaan dalam kenyataan bersama.

Mereka memberi amaran supaya Iran kembali ke rundingan bagi mendapatkan kesimpulan segera, selain berulang kali menegaskan masa tidak berpihak kepada sesiapa pun.

Britain, Perancis, Jerman dan AS antara kekuatan global, bersama China dan Russia telah menjalankan rundingan perjanjian itu dengan Iran, bertujuan menyekat program nuklearnya.