- Iklan -
Berita

Pesaing Muhyiddin mesti miliki alternatif tangani Covid-19, kata penganalisis

Menurut penganalisis, sesiapa yang ingin menggantikan Muhyiddin, bukan sahaja Anwar, tetapi Hishammuddin Hussein, Azmin Ali dan Shafie Apdal mesti menawarkan alternatif.

Aliff Fikri
2 minit bacaan
Kongsi
Spekulasi pertukaran kerajaan heboh diperdebatkan sejak Parlimen diumumkan bakal bersidang akhir bulan ini.
Spekulasi pertukaran kerajaan heboh diperdebatkan sejak Parlimen diumumkan bakal bersidang akhir bulan ini.

Seorang penganalisis politik yang dilihat rapat dengan Pakatan Harapan (PH) mengatakan sesiapa yang mahu menggantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mesti memiliki alternatif lebih baik untuk menangani Covid-19.

Ahli sains politik, Wong Chin Huat berkata, pengkritik-pengkritik Muhyiddin seperti Pengerusi PH Anwar Ibrahim sehingga kini masih belum mengemukakan cadangan yang konkrit untuk membebaskan negara daripada pandemik.

“Sesiapa yang ingin ganti Muhyiddin, bukan sahaja Anwar, tetapi Hishammuddin Hussein, Azmin Ali dan Shafie Apdal mesti menawarkan alternatif,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kritik atas apa yang salah itu senang, tapi alternatif yang boleh membawa pembetulan adalah pengukurnya, pengukur ketokohan pemimpin sebenar.”

Kenyataan ini dikeluarkan ketika cakap-cakap mengenai kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan digulingkan timbul menjelang pembukaan Parlimen yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin mengatakan kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos depan.

PMO turut mengumumkan penetapan 3 hingga 5 Ogos depan untuk sidang Dewan Negara.

Wong berkata, walaupun terdapat cadangan dari Anwar dan pemimpin PH tentang bagaimana menangani pandemik, malangnya ia tidak menumpukan kepada perkara dasar.

Katanya, ini dapat dilihat dalam teks ucapan Anwar pada 30 Jun lalu yang bertajuk “Laporan Covid-19 dan Situasi Kewangan Rakyat”.

“Anwar dan PH ada sediakan kritikan tapi perkara dasar tidak menjadi tumpuan utama. Malah jauh di belakang,” katanya.

Wong berkata jika kerajaan PN tumbang sekalipun, kegembiraan rakyat mungkin tidak berpanjangan sekiranya kerajaan baru yang ditubuhkan tidak mempunyai dasar dan strategi yang jelas dalam memulihkan negara pasca pandemik Covid-19.

“Saya bukanlah nak mempertahankan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Sebagai salah seorang daripada 30 juta bosnya, saya lega beliau mempunyai terlalu banyak pesaing, baik dari pihak pembangkang mahupun dalam kerajaannya sendiri.

“Tetapi apa yang saya mahukan, pesaingan sebenar dan perubahan yang sebenar,” tulis Wong dalam artikelnya yang disiarkan portal Malaysiakini baru-baru ini.

Dalam tulisannya itu, Wong berkata, adalah mudah untuk mengkritik kerajaan dan menawarkan sedikit demi sedikit alternatif terutamanya apabila tidak perlu bimbang tentang belanjawan.

“Ingat tak manifesto ‘kami ingat kami tak boleh menang’ Pakatan Harapan?”

“Untuk mana-mana kerajaan baru yang mahu menggantikan kerajaan sedia ada dan membawa perubahan, kita perlukan kerajaan baru mempunyai agenda polisi yang jelas dan koheren yang berbeza dengan kerajaan sekarang, disokong dengan rancangan pragmatik berdasarkan fakta dan angka,” tulis Wong.