- Iklan -
Berita

Kit Siang padam hantaran Facebook selepas dikecam pengguna internet

Hantaran Lim itu turut memuat naik berita daripada sebuah portal yang tersilap menterjemahkan kenyataan daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Aliff Fikri
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar hantaran Facebook yang dipadam akaun Lim Kit Siang berkenaan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Tangkap layar hantaran Facebook yang dipadam akaun Lim Kit Siang berkenaan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang memadam hantaran di akaun Facebook yang mengkritik “kerajaan Allah” pimpinan Muhyiddin Yassin yang didakwanya gagal disebabkan berada dikedudukan tercorot dalam indeks ekonomi global.

Dalam hantaran Facebook itu ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menulis: “If ‘Allah’s government’ is the best form of government in Covid-19 Pandemic, why Malaysia is the last in the Economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be ‘Allah’s government’”.

(Jika ‘Kerajaan Allah’ adalah sebaik-baik kerajaan dalam Pandemik Covid-19, mengapa Malaysia adalah yang terakhir dalam indeks normal global Economist ketinggalan kepada negara-negara yang tiada satu pun yang boleh mengaku sebagai ‘Kerajaan Allah’”.)

Hantaran Lim itu turut memuat naik berita daripada sebuah portal yang tersilap menterjemahkan kenyataan daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataanya Hadi mengatakan: “Hanya kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan wabak ini pada bila-bila masa. Adapun kerajaan manusia tetap menghadapi kekurangan dan kelemahan, serta wajib melakukan muhasabah bagi menampung kekurangan tersebut.”

Hantaran Lim itu menyebabkannya dikecam pengguna media sosial dan sempat mendapat ratusan komen, ada yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah “kerajaan Allah” yang digunakannya.

Antaranya seorang pengguna, Din Harun yang menegaskan Lim tidak wajar memburukkan lagi istilah yang digunakan duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu.

“Walaupun Hadi guna istilah ‘kerajaan Allah’, Lim tidak patut mengulanginya dan memburukkan lagi kenyataan Hadi,” katanya.

Manakala Charlie Tan pula memohon Lim supaya menyimpan air liurnya ketika membuat sesuatu kritikan.

“Anda akan bertambah tua setidak-tidaknya 30 tahun untuk bercakap secara masuk akal dengan orang yang tidak masuk akal seperti itu, simpanlah air liur anda,” yang kelihatan sedikit menyokong Lim.

MalaysiaNow cuba menghubungi pemimpin DAP itu untuk mendapatkan penjelasan, akan tetapi masih belum berjaya.