- Iklan -
Berita

Agong hargai sumbangan 1 juta dos vaksin Pfizer dari AS

Sultan Abdullah turut menghargai usaha PICK, KKM dan kementerian luar dalam melaksanakan kerjasama dengan AS bagi sumbangan vaksin tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pesawat Raya Air semalam tiba di Malaysia membawa bekalan vaksin Pfizer bagi vaksinasi dalam negara. Gambar: Bernama
Pesawat Raya Air semalam tiba di Malaysia membawa bekalan vaksin Pfizer bagi vaksinasi dalam negara. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah menghargai sumbangan 1 juta dos vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat (AS) bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi laman rasmi Facebook Istana Negara hari ini turut menyampaikan ucapan terima kasih Sultan Abdullah kepada Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters atas sumbangan itu.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi PICK,” titah baginda menerusi laman sosial itu hari ini.

Selain itu, Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Hishammuddin Hussein; Menteri Sains, Tenologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara Malaysia dan AS dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

Pada masa sama, Sultan Abdullah turut menyeru rakyat di negara ini supaya bersama-sama berdoa agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Semalam, sebanyak 1 juta dos vaksin jenis Pfizer BioNTech sumbangan AS tiba di Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 8.10 pagi menerusi penerbangan Raya Airways, sehari selepas negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-245 tahun.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada 80 juta dos dijanjikan oleh Presiden AS Joe Biden kepada negara-negara maju dan membangun.