Saturday, July 17, 2021

Tekanan mental selubungi pekerja pelantar minyak

Kuarantin wajib 14 hari bermakna masa cuti mereka dihabiskan di hotel bersendirian tanpa ahli keluarga.

Other News

Ketika jutaan rakyat Malaysia terkurung di dalam rumah sahaja susulan “lockdown” bagi mengurangkan angka kes harian Covid-19, ratusan kilometer di tengah lautan, sekumpulan pekerja di pelantar minyak turut terpisah daripada interaksi sosial.

Bagi kumpulan pekerja ini, kehidupan di tengah lautan ini bermaksud 24 jam memantau kerja-kerja dan sistem yang sangat sensitif di pelantar.

Dikelilingi beribu injap paip di atas pelantar, dengan kecuaian kecil sahaja, tumpahan minyak atau gas boleh berlaku sehingga boleh mengundang letupan.

Seorang pegawai keselamatan yang ingin dikenali sebagai Sazali berkata, tekanan mental dalam kalangan pekerja pelantar minyak merupakan sesuatu yang serius apabila mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga selama berminggu-minggu selepas Annex 9 kementerian kesihatan (KKM) berkuat kuasa.

Pasukan pekerja memeriksa mesin di pelantar minyak.

Menurutnya, pekerja offshore kebiasaannya akan bekerja selama dua minggu di pelantar dan diberikan dua minggu bercuti dalam sebulan.

“Apabila Annex 9 dikuatkuasakan, setiap pekerja pelantar diarahkan untuk melalui kuarantin wajib di hotel selama 14 hari sebelum mula bekerja di atas pelantar. Ini menyebabkan jadual kerja terganggu dan pihak syarikat terpaksa membuat jadual baru yg membebankan pekerja.

“Jadual saya terpaksa diubah menjadi dua minggu cuti, dua minggu kuarantin wajib dan empat minggu bekerja. Ini bermaksud saya terpaksa berjauhan dari keluarga selama enam minggu dan hanya berjumpa keluarga dua minggu untuk tempoh dua bulan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut perhatian Sazali, ada pekerja sudah mula menunjukkan tanda-tanda seperti termenung, menjerit sendiri ketika menghadap laut, bergaduh, mudah marah yang menimbulkan risiko kemalangan pekerjaan kepada kru lain.

Seorang lagi pekerja yang kini dikuarantin di Sabah, Ahmad berkata, dia dan rakan-rakan lain mengalami tekanan akibat arahan kuarantin 14 hari sebelum bertolak ke laut.

“Selepas kuarantin, tidak ada jaminan kami kena kerja berapa minggu, kerana yang balik dari laut pun ada yang positif Covid-19. Kurang-kurang dua bulan kami terpaksa bekerja secara terus kerana jadual kerja terganggu.

“Hendak bayangkan situasi ini sahaja sudah tertekan, ditambah pula dengan fasiliti atas kapal seperti internet yang tidak memuaskan,” katanya.

Pekerja pelantar minyak perlu menjaga sistem di pelantar supaya berjalan lancar tanpa sebarang kecuaian.

Katanya, tempoh kuarantin 14 hari “merompak” tempoh yang sepatutnya mereka bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Isteri dan anak-anak kami juga tertekan, kami (suami) sudah lama tinggalkan mereka, tapi tiada pilihan untuk teruskan kehidupan kerana peluang kerja lain amat terhad,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengurus marin, Harry Teh memberitahu MalaysiaNow jadual kerja yang terganggu akibat kuarantin itu mengakibatkan beberapa kakitangan terlepas janji temu vaksin.

“Saya cuba dapatkan kru untuk divaksin sempena Hari Pelaut Sedunia menerusi program imunisasi Jabatan Laut, namun ditolak atas sebab kami dianggap bukan kru marin, tetapi kru teknikal.

“Pelaut Malaysia yang berkhidmat di kapal yang bukan dari Malaysia juga tidak dibenarkan menyertai program itu,” katanya.

Menurut Teh, kru dari Sarawak yang bekerja di semenanjung menghadapi situasi lebih teruk kerana dikuarantin dua kali iaitu kuarantin “offshore” dan juga kuarantin oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

“Kita ada kakitangan yang sudah tidak berjumpa keluarga selama sembilan bulan. Kerja pelantar seperti kerja kilang yang berasrama. Kakitangan balik dari pesisir, duduk di hotel di Kemaman sehingga dipanggil semula,” katanya.

Pekerja pelantar minyak membaiki kabel. Penting segala peralatan di pelantar berfungsi dengan baik.

Antara aspek lain yang terganggu ialah sumber manusia, tenaga kerja, kontrak, kos dan kesihatan mental kakitangan.

Dia mencadangkan agar ujian PCR atau RTK diberikan 72 jam sebelum bertolak ke pelantar dikekalkan kepada mereka yang belum divaksin.

Namun, bagi mereka yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, hanya tujuh hari kuarantin diperlukan.

“Ketika hendak pulang, hanya saringan dan kuarantin sehingga keputusan keluar,” katanya.

Bagi Sazali, dia berharap agar KKM menggantikan kuarantin wajib di hotel kepada kuarantin di rumah.

“Sekurang-kurangnya, ketika kami bercuti, kami masih boleh bersama keluarga walaupun tidak dapat keluar.

“Selain daripada itu, pekerjaan kami selama 14 hari di laut sudah boleh dikira sebagai kuarantin kerana kami tidak bercampur dgn orang awam,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles