- Iklan -
Berita

Perjumpaan di pejabat Umno hari ini langgar SOP Fasa 1 PPN?

Tiada perjumpaan fizikal dibenarkan untuk negeri di bawah Fasa Pertama PPN.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Mesyuarat bersemuka tidak dibenarkan dan perlu dilaksanakan secara sidang video untuk negeri yang diletakkan di bawah Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Mesyuarat bersemuka tidak dibenarkan dan perlu dilaksanakan secara sidang video untuk negeri yang diletakkan di bawah Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perjumpaan pemimpin-pemimpin Umno di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur petang tadi melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), memandangkan Kuala Lumpur masih diletakkan di bawah Fasa Pertama.

Menurut laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN), mesyuarat bersemuka tidak dibenarkan dan perlu dilaksanakan secara sidang video untuk negeri yang diletakkan di bawah Fasa Pertama.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai sebarang perjumpaan membabitkan pemimpin-pemimpin Umno hari ini.

“Kita tidak dimaklumkan. Kena tanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) (sekiranya ada kebenaran)” katanya kepada MalaysiaNow.

Hari ini bekas perdana menteri Najib Razak adalah antara ahli Parlimen Umno yang menghadiri mesyuarat di ibu pejabat parti itu selepas tarikh akhir yang diberikan Ahmad Zahid Hamidi berakhir.

Selain Najib dan Zahid yang mengetuai usaha permuafakatan bersama pemimpin PKR Anwar Ibrahim, turut hadir dalam mesyuarat hari ni termasuk Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob dan beberapa anggota Kabinet dari Umno.

Pada 21 Jun lalu, Zahid menggesa kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, mengatakan sekiranya gagal ia menunjukkan penderhakaan dan tidak menghormati Raja-Raja Melayu susulan gesaan istana berkenaan sidang Parlimen.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengulas sidang media yang ingin dilakukan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh berkata pemimpin veterab Umno itu perlu mendapatkan permit polis untuk kebenaran.