- Iklan -
Berita

Masyarakat di pedalaman Sarawak raikan usaha program vaksinasi

Vaksinasi kekal tidak menjadi pilihan bagi sebilangan suku, namun ia kini mulai disokong oleh sebahagian besar masyarakat Ulu Baram.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ukeng Lian dan anak perempuannya yang merupakan anak berkeperluan khas memegang plakad 'Saya telah divaksin' di Klinik Kesihatan Long Moh.
Ukeng Lian dan anak perempuannya yang merupakan anak berkeperluan khas memegang plakad 'Saya telah divaksin' di Klinik Kesihatan Long Moh.

Di pedalaman Ulu Baram, Sarawak, masyarakat Kenyah sibuk bersiap menyambut ketibaan bekalan vaksin Covid-19 dan pemberian vaksin yang dinanti-nantikan mereka.

Ramai yang datang untuk membersihkan klinik menjelang ketibaan pasukan vaksinasi Flying Doctor yang dijadualkan mendarat pada Sabtu.

Ngerong Sigau dan dua sepupunya, Ukeng Lian dan Merang Eban, adalah antara yang menunggu dengan lengan baju yang sudah pun digulung.

Mereka turut memastikan semua dokumen yang diperlukan ada sebelum secara sukarela menerima vaksin Sinovac.

Setelah suntikan dilakukan, beban di bahu mereka terasa hilang.

“Ia seperti dilahirkan buat kali kedua,” kata Ngerong, 50, kepada MalaysiaNow.

“Kami bangun sebelum subuh lagi, kerana kami nak sangat diberi vaksin.”

Dia kini terasa sangat lega.

“Kami sangat bersyukur dapat menerima vaksin kerana kami dah lama tunggu giliran.”

Tetapi dia juga ingin agar seluruh kampung diinokulasi terhadap virus yang setakat ini meragut hampir 5,500 nyawa di negara ini.

“Saya mahu penduduk di Long Moh juga jadi sukarelawan untuk terima vaksin. Itulah sebabnya kita perlu daftar,” katanya.

Setakat ini, sambutan vaksinasi adalah memberangsangkan.

Namun sepupu Ngerong, William, di Miri, berkata masih ada yang enggan disuntik.

“Orang yang lebih tua bimbang tentang kesan sampingan vaksin kerana maklumat salah yang mereka terima,” katanya.

Bagaimanapun, dia berharap hal ini akan berubah. “Saya percaya mereka akan berubah fikiran.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telung Usan, Dennis Ngau bersetuju mengenai hal ini dan berkata peningkatan jumlah orang yang semakin ramai menerima vaksin menggalakkan lebih ramai yang mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Hal ini berlaku terutama bagi tiga komuniti: Kenyah, Kayan dan Kelabit,” katanya kepada MalaysiaNow.

Di Baram, hampir 90% komuniti ini menerima dos vaksin yang pertama, katanya.

Beliau berkata keraguan terhadap vaksin paling tinggi adalah dalam kalangan masyarakat Penan, hanya 10% daripada komuniti itu sahaja yang sanggup divaksinasi ketika ini.

“Orang Penan kekal yang paling sukar untuk terima vaksin, saya rasa sebab mereka takut dengan jarum suntikan,” katanya.

Namun, sementara itu, masyarakat di Ulu Baram terus meraikan setiap langkah yang diambil dalam usaha vaksinasi di pedalaman.

Pada Sabtu lalu, Ukeng Lian membawa anaknya yang merupakan orang kurang upaya ke klinik untuk diberi vaksin.

Pada Ahad pula, dia membawa anak perempuannya pula yang juga merupakan orang berkeperluan khas untuk menerima suntikan vaksin.

Dengan program vaksinasi yang semakin mendapat sambutan, dia dan keluarganya berharap semakin ramai penduduk muncul dengan lengan baju yang digulung untuk menerima suntikan vaksin mereka.