- Iklan -
Berita

Ahli politik diingatkan ‘derhaka’ tiada tempat dalam Perlembagaan atau negara moden

Bekas hakim kanan berkata tidak ada konsep demikian dalam Perlembagaan, sementara pengkritik sosial berkata ia adalah sisa feudalisme masa lampau.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin ketika mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah di Istana Negara sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020. Gambar: AP
Muhyiddin Yassin ketika mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah di Istana Negara sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020. Gambar: AP

Konsep derhaka, atau tidak taat kepada raja, tidak wujud dalam sistem undang-undang Malaysia, kata dua tokoh terkemuka, dalam respons berhubung dakwaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan tidak menghormati Agong.

Tuduhan “derhaka”, dari sudut sejarah bermaksud kesalahan kerana menentang raja-raja dalam masyarakat feudal Melayu, berulang kali dilemparkan kepada Muhyiddin oleh beberapa pemimpin pembangkang, mengatakan perdana menteri perlu mengikut titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu Parlimen dibuka secepat mungkin.

Kedua-dua pemimpin PKR Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Umno Ahmad Zahid Hamidi, dilihat seia dan sekata dalam serangan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), mengatakan Muhyiddin harus bertindak mengikut gesaan istana, walaupun beberapa peringatan pakar dan tokoh perundangan disuarakan bahawa Agong tertakluk kepada nasihat Kabinet dalam menjalankan tugas rasminya.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga turut menggunakan label “derhaka” terhadap Peguam Negara Idrus Harun selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan had kuasa Agong dalam memanggil Parlimen untuk bersidang semula.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang merupakan pakar dalam hal-hal Perlembagaan Malaysia mengatakan tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membicarakan “derhaka” atau tidak taat kepada raja.

Apa yang diiktiraf dalam sistem perundangan negara, kata Sri Ram, adalah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Syeksen 121, Kanun Keseksaan.

Beliau turut berkata, kesalahan itu turut disebut dalam Akta Hasutan yang menganggap kenyataan yang menghina institusi raja sebagai jenayah.

Namun Sri Ram memberitahu MalaysiaNow tidak mengikut nasihat raja bukanlah satu kesalahan.

“PM atau peguam negara yang menolak untuk tidak mengikut nasihat Agong tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Bahkan, sebaliknya, undang-undang Perlembagaan memerintahkan Agong untuk bertindak mengikut nasihat PM,” kata bekas hakim yang pernah berkhidmat di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, yang ketika berkhidmat mengeluarkan lebih 800 penghakiman yang menjadi rujukan undang-undang di mahkamah Malaysia dan Komanwel.

“Tiada apa yang dianggap sebagai derhaka kerana tidak buka Parlimen,” tambahnya.

Feudalisme

Dengan memberikan perspektif sejarah, pemikir terkemuka Chandra Muzaffar berkata konsep derhaka bukan sahaja bermasalah bahkan ia merupakan perkara yang asing dalam sistem moden perundangan seperti apa yang wujud di Malaysia, di mana kuasa-kuasa dan hak monarki dibatasi Perlembagaan negara.

“Konsep ‘derhaka’ dan amalannya sangat dipengaruhi feudalisme Melayu. Seseorang seringkali dituduh ‘menderhaka’ ketika dia tidak mengikut kehendak sultan dengan tanpa mengambil kira sama ada arahan itu mengikut etika atau tidak,” kata Chandra yang pernah mengetuai kempen mempromosi lima prinsip dalam falsafah Rukun Negara.

Beliau berkata pada masa lampau, sekiranya mereka yang diarahkan untuk melakukan perkara yang salah bagi pihak raja gagal melaksanakannya, akan dituduh menderhaka kepada istana.

Muhyiddin bukanlah ahli politik pertama yang dituduh “derhaka”.

Tuduhan serupa juga pernah diterima Dr Mahathir Mohamad, yang beberapa kali membuat keputusan yang bertentangan dengan Raja-Raja Melayu ketika beliau mengetuai kerajaan.

Pada 2017, Mahathir yang bertanggungjawab membataskan kuasa-kuasa istana dan membatalkan kekebalan undang-undang dan boleh dibicarakan dalam kesalahan jenayah, berkata beliau tidak menghiraukan tuduhan derhaka kepada Sultan Johor selepas dikecam sultan ekoran kritikannya mengenai projek Forest City yang kontroversi di negeri itu.

“Sekiranya saya dituduh derhaka atas apa yang saya katakan, biarlah,” katanya dalam tulisan yang diterbitkan The Star.

Chandra turut menyuarakan kekecewaannya terhadap ahli-ahli politik yang menuduh musuh-musuh mereka dengan menggunsakan label “derhaka”.

“Malang sekali pemimpin politik yang sepatutnya lebih tahu, menggunakan istilah ‘derhaka’ secara semberono dan kemudian mencipta kesalahfahaman dalam kalangan masyarakat.

“Ini adalah satu perbuatan jahat ahli-ahli politik tertentu untuk manipulasi ‘derhaka’ bagi kepentingan diri mereka sendiri,” tambahnya.

Ahmad Mustakim Zulkifli turut menyumbang dalam laporan ini.