Sunday, July 25, 2021

25 ahli Parlimen Umno tak akan sokong Zahid gulingkan kerajaan, kata Nazri

Ahli Parlimen Umno sudah mengetahui gerakan Zahid dan sekutunya untuk 'memaksa' mereka menandatangani SD bagi menarik kembali sokongan kepada kerajaan PN.

Other News

25 ahli Parlimen Umno yang menandatangani akuan berkanun (SD) untuk melantik Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap tidak akan menyokong usaha dilakukan Ahmad Zahid Hamidi untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Mohamed Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau dan rakan-rakan ahli Parlimen lain sudah mengetahui gerakan dilakukan Zahid dan beberapa sekutunya untuk “memaksa” ahli-ahli Parlimen Umno menandatangani SD bagi menarik kembali sokongan kepada kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

“Setakat yang saya tahu, saya dan rakan-rakan ahli Parlimen yang lain, 25 orang ini tidak akan tandatangan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Nazri menjelaskan, disebabkan tindakan Zahid inilah beliau dan lagi 24 ahli-ahli Parlimen melantik Hishammuddin menjadi jurucakap untuk menjelaskan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai pendirian mereka.

“Dalam kalangan kami 25 orang ahli Parlimen mengambil maklum yang Zahid hendak mengambil tandatangan ahli-ahli Parlimen, sebab tu kami sudah bersedia dengan memberi mandat kepada Hishammuddin Hussein menjadi jurucakap bagi pihak kami,” katanya.

MalaysiaNow difahamkan, Umno sejak Khamis memanggil ahli-ahli Parlimennya secara berperingkat bagi mendapatkan perakuan bersama meninggalkan kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

Lebih 10 ahli Parlimen yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno dipanggil menemui Zahid dan juga timbalannya, Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung, Ahmad Maslan di ibu pejabat parti.

Tindakan ini jelas bertentangan dengan apa yang diputuskan Perhimpunan Agung Umno iaitu akan kekal dengan kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, Umno memenangi 54 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, 15 daripadanya melompat menyertai Bersatu menyebabkan Umno kini hanya tinggal 39 ahli Parlimen.

Daripada 39 ahli Parlimen Umno, 25 daripadanya melantik Hishammuddin sebagai jurucakap menjadikan Zahid hanya mempunyai 14 orang termasuk dirinya.

Nazri juga berkata beliau kembali menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN sehingga PRU15.

“Saya tarik balik pengumuman saya pada bulan Januari dulu iaitu menarik sokongan kepada PN. Sekarang saya menyokong Muhyiddin bersama dengan kerajaan PN sehingga PRU15 seperti diputuskan oleh Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu,” katanya.

Sebelum ini Nazri memberitahu MalaysiaNow beliau ditipu oleh Zahid untuk menarik sokongannya terhadap PN, mendakwa langkah itu didalangi presiden Umno.

“Dia (Zahid) yang merancang lepas tu dia sendiri tak tarik diri, dia tipu kalau tidak kenapa saya nak tarik diri takde sebab. Saya memang rasa saya ditipu,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles