- Iklan -
Berita

Kini, pemimpin PH gesa ahli Parlimen berhimpun di bangunan Parlimen

PH mahu perdana menteri umum pembukaan semula sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Parlimen ditangguhkan sejak Januari tahun ini selepas darurat diisytiharkan.
Parlimen ditangguhkan sejak Januari tahun ini selepas darurat diisytiharkan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan pemimpin parti-parti komponennya dari Amanah dan DAP menggesa ahli-ahli Parlimen untuk berhimpun di Parlimen jika mereka tidak mendengar sebarang pengumuman daripada perdana menteri selewat-lewatnya 5 Julai ini.

Anwar, pemimpin DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu turut menuduh Muhyiddin Yassin menderhakai Agong kerana tidak mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.

“Sekiranya perdana menteri dan menteri-menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan,” kata ketiga-tiga mereka dalam sebuah kenyataan untuk memberikan tekanan kepada kerajaan supaya sidang Parlimen dilaksanakan.

Mereka menggesa ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang yang “menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen” untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai 2021.

Kenyataan PH itu adalah susulan daripada gesaannya sebelum ini yang mahu Peguam Negara Idrus Harun dipecat berikutan kenyataannya yang menjelaskan Agong masih tertakluk kepada nasihat Kabinet dalam memanggil sidang Dewan Rakyat.

Anwar juga turut menuduh pejabat speaker Dewan Rakyat Azhar Harun telah dipergunakan oleh kerajaan namun kemudian dibidas tajam oleh Azhar yang menyifatkan pemimpin pembangkang itu berada dalam “mimpi ngeri ciptaannya”.

Awal minggu ini, Azhar dan rakan sejawatnya di Dewan Negara, Rais Yatim mengadap Agong di mana beliau menjelaskan pandangan mengenai sidang Parlimen yang harus diadakan sebelum 1 Ogos depan.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dan rakan sejawatnya di Dewan Negara Rais Yatim turut berkata mereka komited untuk melaksanakan persidangan Parlimen secepat mungkin seperti yang telah dititahkan Raja Melayu.

Mereka turut berkata perdana menteri juga sudah dimaklumkan berkenaan titah Agong tersebut, dan cadangan mengenai persidangan khas Parlimen juga sudah diberikan.

Kenyataan Agong berkenaan keperluan sidang Parlimen diadakan pertama kali dikeluarkan pada 16 Jun lalu selepasn Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara.

Raja-Raja Melayu kemudiannya turut mengeluarkan kenyataan yang menyokong pendirian Agong yang mahu Parlimen bersidang secepat mungkin.