Friday, July 30, 2021

Jawatankuasa pilihan khas sedia bincang isu bunuh diri, kata Azalina

Jawatankuasa tersebut akan menyiapkan dan membentangkan penyata berhubung syor-syor berkaitan dengan isu bunuh diri.

Other News

Kes bunuh diri yang semakin meningkat akhir-akhir ini mendapat perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Hal-Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial yang sedia membincangkan isu tersebut, kata pengerusinya Azalina Othman Said.

Sambil menyatakan khuatir terhadap perkembangan tersebut, beliau yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat berkata, isu bunuh diri akan menjadi agenda utama jawatankuasa itu apabila bermesyuarat.

“Jawatankuasa pilihan khas ini mempunyai kuasa untuk memanggil di hadapannya mana-mana orang termasuklah orang yang mempunyai kepakaran dan kemahiran di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2). Selain itu, jawatankuasa pilihan khas juga akan menyiapkan dan membentangkan penyata jawatankuasa yang mengandungi syor-syor berkaitan dengan isu ini.

“Saya yakin, dengan mengoptimumkan fungsi dan peranan Jawatankuasa pilihan khas akan membantu kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan pantas agar isu bunuh diri ini dapat dibendung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pihak polis mendedahkan purata sebanyak dua kes bunuh diri direkodkan setiap hari di negara ini bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021. Sebanyak 609 kes direkodkan pada 2019 manakala 631 kes direkodkan pada 2020.

Menurut Azalina jawatankuasa itu berfungsi untuk menyiasat dan melaporkan apa-apa cadangan, usul, petisyen, laporan atau dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan wanita, kanak-kanak dan pembangunan sosial.

Mengikut laman sesawang Parlimen, seramai tujuh ahli Parlimen menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Hal-Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial termasuk Shahidan Kassim, Fuziah Salleh, Alice Lau Kiong Yieng, Rubiah Wang, Che Alias Hamid dan Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Dalam kenyataan sama, Azalina juga akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah yang menitahkan semua jawatankuasa pilihan meneruskan mesyuarat sebagai mekanisme semak dan imbang.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles