- Iklan -
Berita

Apakah Zahid membohongi Agong menteri Umno keluar kerajaan 1 Ogos depan?

Presiden Umno juga secara aktif menggesa pimpinan parti untuk keluar dari Kabinet minggu depan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Zahid Hamidi.
Presiden Umno Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid Hamidi memberi tanggapan salah kepada Yang di-Pertuan Agong ketika presiden Umno itu mengadap di Istana Negara bulan lalu kononnya menteri dan timbalan menteti Umno sudah berikrar akan keluar daripada kerajaan pada 1 Ogos depan, MalaysiaNow kini boleh mendedahkan.

Turut difahamkan presiden Umno itu kini secara aktif mengarahkan menteri-menteri daripada parti itu untuk meletakkan jawatan mereka lebih awal.

“Beliau sasarkan 7 Julai depan sebagai tarikh akhir mereka untuk letak jawatan, namun dia hanya akan hadapi kekecewaan,” kata sumber yang dekat dengan ahli-ahli Parlimen kanan Umno.

Dalam kenyataan hari ini, Putrajaya berkata mesyuarat Kabinet pada 7 Julai akan menetapkan tarikh Parlimen bersidang semula.

Menteri-menteri nafikan dakwaan Zahid

Dalam pada itu, MalaysiaNow juga difahamkan, ketika Zahid memberikan taklimat kepada kepimpinan Umno pada 11 Jun lalu selepas beliau mengadap Agong pada 11 Jun, beliau membaca teks yang disediakan berhubung apa yang dimaklumkan kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Antara lain, Zahid memberitahu Agong Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk parti itu meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 1 Ogos, tanpa mengira sama ada perintah darurat akan disambung atau tidak.

“Menurut Zahid, beliau beritahu Agong semua menteri dan timbalan menteri, termasuk ahli Parlimen dan pengerusi GLC, juga sudah berikrar untuk letak jawatan pada waktu itu,” kata sumber yang mengetahui apa yang berlaku ketika pertemuan tersebut.

Namun dalam perbincangan bersama beberapa anggota Kabinet Umno mendedahkan l tidak ada ikrar sedemikian “sama ada bertulis atau lisan” daripada mereka.

“Zahid jelas beritahu perkara yang tak benar kepada Agong,” kata seorang menteri kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Bahkan Shamsul Anuar Nasarah, salah seorang ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga menteri tenaga dan sumber asli turut keliru ketika memberikan respons terhadap berita keputusan Umno untuk keluar daripada kerajaan pada 1 Ogos depan.

“Ketika ini saya tetap fokus melaksanakan tanggungjawab. Dan prinsip saya kekal. Saya tetap patuh dan akur dengan keputusan parti selagi ianya tidak lari daripada ideologi dan prinsip perjuangan Umno,” kata Shamsul dalam sebuah hantaran Facebook hari ini.

Bekas pembantu seorang pemimpin Umno berkata mesej Shamsul itu secara tidak langsung memberikan isyarat kepada Zahid beliau tidak akan memberikan sokongan kepada presiden partinya.

“Apa yang dia mahu katakan adalah Zahid bertindak bertentangan dengan prinsip parti yang tidak akan bekerjasama dengan DAP atau Anwar Ibrahim,” tambahnya merujuk sokongan Zahid yang memberikan sokongan kepada presiden PKR untuk menjadi perdana menteri.

Dalam hantaran Facebook, Shamsul kemudian berkata: “Malah saya tidak bimbang hilang kedudukan. Kerana yang saya takut Umno hilang sokongan.”.

Hanya Shamsul sahaja menteri Umno yang memberikan kenyataan dia sedia untuk letakkan jawatan dalam Kabinet selepas Zahid secara terbuka menggesa Umno untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN sewaktu perhimpunan agungnya pada Mac.

Pertemuan Zahid dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bulan lalu adalah salah satu siri pertemuan Agong dengan pemimpin parti-parti politik.

Selepas siri pertemuan dengan pemimpin politik itu, Agong dan Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan yang menggesa Parlimen bersidang secepat mungkin.

Gesaan itu menimbulkan perdebatan hangat berkaitan kuasa-kuasa Agong di bawah Perlembagaan.