- Iklan -
Berita

Ambank bayar RM1.8 bilion, RM18.1 bilion wang berkaitan skandal 1MDB berjaya diperolehi semula

Setakat ini kerajaan berjaya membayar semula hutang 1MDB sebanyak RM12.54 bilion dan RM3.8 bilion hutang SRC International.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
1MDB dan SRC memfailkan 22 tuntutan terhadap beberapa entiti termasuk institusi kewangan dan individu bagi pemulangan asetnya. Gambar: AFP
1MDB dan SRC memfailkan 22 tuntutan terhadap beberapa entiti termasuk institusi kewangan dan individu bagi pemulangan asetnya. Gambar: AFP

Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset menerima bayaran pertama Ambank sebanyak RM1.8 bilion sebagai sebahagian daripada penyelesaian berkaitan 1MDB, kata menteri kewangan.

Kementerian kewangan berkata baki bayaran sebanyak RM1.03 bilion lagi akan dilunaskan sebanyak dua kali pada Disember 2021 dan Julai 2022.

Katanya sehingga kini, akaun amanah berkenaan menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan skandal 1MDB ketika era pentadbiran Najib Razak.

“Setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion hutang SRC. Setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC).

“Namun, baki semasa akaun amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja,” kata kementerian kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Februari lalu, AMMB Holdings Bhd yang memiliki Ambank bersetuju untuk penyelesaian global sebanyak RM2.83 bilion bagi semua tunggakan tuntutan dan tindakan kumpulan perbankan itu berkait skandal 1MDB.

Jumlah itu adalah tambahan bagi penalti sebanyak RM53.7 juta yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia dan dibayar oleh AmBank Group.

Putrajaya juga turut melakukan penyelesaian serupa bersama bank Amerika Syarikat Goldman Sachs berjumlah RM 15.8 bilion.

AmBank Group disiasat berhubung penglibatannya dalam tuduhan mencuri sebanyak RM4.5 bilion dari 1MDB.

Syarikat dana pelaburan negara itu ditubuhkan oleh Najib pada 2009, beliau didapati bersalah melakukan rasuah dan pengubahan wang haram kerana memindahkan jutaan dolar ke dalam sebuah akaun AmBank antara 2014 dan 2015

Beliau kini dalam proses rayuan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta.