- Iklan -
Berita

Rakyat, suntikan vaksin diutamakan, bukan pilihan raya, kata KM Sarawak

Abang Johari Openg berkata Sarawak sedang menyasarkan imuniti kelompok tercapai akhir Ogos depan.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak ABang Johari Openg di sidang media di Kuching hari ini.
Ketua Menteri Sarawak ABang Johari Openg di sidang media di Kuching hari ini.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini memuji pelaksanaan vaksinasi negeri itu, mengatakan fokus utama ketika ini adalah meningkatkan usaha tersebut daripada memikirkan pilihan raya negeri.

Bercakap di sidang media di Kuching, beliau berkata keutamaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak ialah pelaksanaan vaksinasi di seluruh negeri dan mencapai imuniti kelompok pada akhir Ogos depan.

“Ini bukan masa untuk fikir pilihan raya negeri,” katanya.

“Musim ini fokus dengan vaksin. Asal rakyat selamat. Tak ada fokus pilihan raya. Rakyat diutamakan.”

Berhubung sasaran negeri itu mencapai imuniti kelompok pada Ogos depan, beliau berkata negeri sudah berjaya menjalankan vaksinasi sebanyak 70,000 suntikan sehari.

“Target kita Kuching akan capai herd immunity hujung bulan Julai atau minggu pertama bulan Ogos, 80% imuniti kelompok sekurang-kurangnya satu suntikan,” tambahnya.

“Ini akan berdasarkan kemajuan. Kita ada kapasiti maksimum untuk vaksinasi rakyat, namun ini akan bergantung dengan bekalan vaksin.”

Beliau berkata bekalan vaksin di Sarawak tiba mengikut jadual yang ditetapkan jawatankuasa pengurusan bencana negeri itu.

Abang Johari turut berkata dari 2.08 juta rakyat yang layak mendapat vaksin, Sarawak sudah memberikan vaksin kepada 1.3 juta rakyatnya setakat ini.

“Di Sibu, 64% sudah terima sekurang-kurangnya satu dos. Ini bermakna kita sudah capai purata 50% dengan suntikan harian bagi penduduk di bandar utama seperti Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri menerima sekurang-kurangnya suntikan pertama mereka.

“Jika ini berlaku, sekurang-kurangnya rakyat selamat,” katanya.