- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang semula vaksinasi Pfizer kepada remaja

Kementerian keihatan juga masih mempertimbangkan kaedah 'mix and match' dua jenis vaksin Covid-19.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Vaksin mRNA Pfizer-BionTech merupakan vaksin yang dipilih untuk vaksinasi remaja di beberapa buah negara.
Vaksin mRNA Pfizer-BionTech merupakan vaksin yang dipilih untuk vaksinasi remaja di beberapa buah negara.

Kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusannya sebelum ini untuk memberikan vaksin jenis Pfizer kepada golongan remaja, susulan laporan berlaku insiden kesan sampingan radang jantung dalam kalangan penerima terutamanya remaja lelaki.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya bersama kementerian kesihatan (KKM) dan kementerian pendidikan, akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu berkenaan.

“Kita sedang pantau perkembangan berkenaan kesan sampingan tersebut, tetapi ia tidak mengubah keputusan pemerolehan kita berkenaan Pfizer.

“Cuma ia ada kaitan sedikit dengan keputusan, sama ada kita nak bagi Pfizer pada golongan remaja disebabkan insiden radang jantung dalam kalangan remaja lelaki agak tinggi,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK semalam, yang turut disertai Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Khairy berkata, isu berkenaan kesan sampingan vaksin Pfizer telah dibentangkan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 kepadanya dan Dr Adham.

Terdahulu Agensi Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat, merancang untuk mengemas kini garis panduan pemberian vaksin Covid-19 jenis Pfizer dan Moderna kepada remaja dan golongan muda, selepas menemui kemungkinan risiko radang jantung.

Kerajaan pada 21 Jun lepas meluluskan pemberian vaksin Prizer kepada golongan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.

Ditanya adakah kerajaan bercadang mempercepatkan selang masa penerimaan dos kedua vaksin AstraZeneca dari 12 minggu kepada enam minggu terutamanya untuk warga emas, beliau berkata perkara itu akan diumumkan hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan masih mempertimbangkan kaedah ‘mix and match’ dua jenis vaksin Covid-19.

“Buat masa ini, anda akan diberikan dos kedua sama seperti dos pertama. Untuk AstraZeneca, dos kedua juga akan diberi AstraZeneca,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas tweet Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan keberkesanan vaksin AstraZeneca dan Sinovac terhadap varian membimbangkan (VOC) Delta, Khairy berkata setakat ini semua vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia, masih mampu memberi perlindungan kepada varian-varian Covid-19.

“Walaupun mungkin terdapat varian dalam terma keberkesanan vaksin terhadap VOC Delta, ia (vaksin) masih melindungi anda. Jadi apapun vaksin yang ditawarkan, sila ambil vaksin itu. Vaksin (itu) yang kami berikan, akan berikan anda perlindungan daripada VOC,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor HIsham dalam ciapannya “Satu dos vaksin Pfizer atau AstraZeneca hanya menyediakan perlindungan antara 33 peratus daripada simptom varian Delta, dua dos memberikan perlindungan antara 88 peratus (Pfizer) dan 60 peratus (AstraZeneca), daripada simptom.”

Dalam perkembangan lain Khairy berkata, kadar vaksinasi negara terus meningkat dan konsisten dengan purata pemberian suntikan vaksin sepanjang minggu lepas (21-27 Jun) yang juga terus meningkat 19% berbanding pada minggu sebelumnya (14-20 Jun).

“Ini menunjukkan konsistensi dalam kadar vaksinasi yang kini sedang giat diperhebatkan,” katanya sambil menambah, pada Khamis lepas negara mencapai rekod baharu dengan catatan sebanyak 268,604 suntikan dos sehari.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata satu unit khas ditubuh dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi menyiasat aduan berkenaan penjualan vaksin dan janji temu susulan.

“Saya telah bercakap dengan polis, dan mereka telah tubuhkan unit khas atau kerjasama bersama CITF bagi terus menyiasat dakwaan tersebut,” katanya.

Khairy berkata pihaknya telah meminta pihak polis supaya segera bertindak, dan menahan individu yang didapati menjual dos vaksin dan slot janji temu di bawah PICK.

Terdahulu, CITF membuat dua laporan kepada PDRM pada 14 dan 20 Jun, hasil aduan orang ramai mengenai dakwaan aktiviti penjualan vaksin.