Friday, July 30, 2021

‘Hartal’ satu hari tak akan jejaskan pesakit, kata kumpulan doktor

Hartal mendapat sokongan doktor senior, hospital Covid-19 kemungkinan tidak terlibat.

Other News

Gerakan Hartal Doktor Kontrak memberi jaminan tindakan “walk out” pada 26 Julai ini tidak akan menjejaskan keadaan pesakit dalam hospital di mana mereka berkhidmat, kata seorang jurucakapnya.

Salah seorang wakil gerakan itu, Dr Fauzi Rahim berkata, gerakan itu sudah mengatur dengan doktor senior, pakar, konsultan dan doktor tetap bagi membolehkan “hartal” dilakukan tanpa menjejaskan keadaan pesakit.

“Ramai pakar boleh terima (tindakan hartal), mereka menggalakkan kita untuk ‘go for the strike’, dan mereka boleh ‘cover’ kami.

“Perangkaan di hospital tidak akan terjejas 100%, tetapi pegawai perubatan tetap terasa yang mana pergerakan fasiliti kesihatan akan perlahan di hospital masing-masing,” katanya pada satu sidang media secara maya hari ini.

Katanya, tindakan hartal itu hanya langkah terakhir selepas fasa kedua iaitu perbincangan bersama jabatan pesakit luar dan pengarah hospital mengenai tindakan itu.

Jurucakap gerakan, Dr Mustapa Kamal A Aziz berkata pihaknya akan cuba lakukan yang terbaik untuk tidak menjejaskan sistem kesihatan.

Ditanya sama ada mereka akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kematian pesakit Covid-19 disebabkan tindakan “walk out”, Kamal berkata: “Kalau dilihat kepada pelan tindakan, untuk kebanyakan hospital Covid-19, kita cuba yang terbaik untuk tidak menggerakkan pegawai perubatan kontrak (menyertai walk out) kecuali kita boleh atur dengan baik. Kami faham pandemik merupakan darurat, kita tidak mahu menjejaskan kesihatan pesakit.”

Katanya, majoriti doktor kontrak menyokong tindakan “walk out” itu.

Mustapa berkata, kerajaan akan berdepan tindakan “walk out” berterusan daripada doktor kontrak sekiranya tiada penyelesaian dikemukakan sekarang.

“Ini soal masa depan sistem kesihatan, bukan mengenai kami.

“Masa menunggu pesakit sekarang ialah enam jam, bayangkan semua doktor tinggalkan sektor kesihatan awam untuk ke sektor swasta dalam masa 10 ke 20 tahun,” katanya.

Mustapa memaklumkan pihaknya turut bersedia dengan pasukan guaman sekiranya ada antara ahli mereka yang dikenakan tindakan disiplin oleh pihak berkuasa.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles