- Iklan -
Berita

Speaker cadang sidang khas Parlimen sebelum 1 Ogos

Cadangan dikemukan oleh kedua-dua Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat susulan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong semalam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen lengang sejak persidangan ditunda ketika perintah darurat dikuatkuasakan mula pada Januari tahun ini.
Bangunan Parlimen lengang sejak persidangan ditunda ketika perintah darurat dikuatkuasakan mula pada Januari tahun ini.

Kedua-dua speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Rais Yatim dan Azhar Harun mencadangkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya persidangan khas Parlimen diadakan sebelum tamat tempoh darurat pada 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam satu pertemuan bersama speaker dan timbalan speaker semalam persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum tarikh itu.

“Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah baginda dan menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” kata Rais dan Azhar dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Abdullah semalam menitahkan agar Parlimen bersidang secepat mungkin selepas satu pertemuan dengan Rais dan Azhar di Istana Negara.

Turut hadir timbalan speaker Dewan Negara, Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said dan Mohd Rashid Hasnon.

Sebelum ini tarikh pembukaan Parlimen menjadi perdebatan antara parti-parti politik susulan perbincangan khas Majlis Raja-Raja pada 26 Jun lalu bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.