- Iklan -
Berita

Lagi 586,700 dos vaksin AstraZeneca tiba pada Julai

Penghantaran tambahan juga akan menyusul dalam masa beberapa minggu ke depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pegawai perubatan menunjukkan botol vaksin AstraZeneca yang akan diberikan kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Pegawai perubatan menunjukkan botol vaksin AstraZeneca yang akan diberikan kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra.

AstraZeneca hari ini mengesahkan sejumlah 586,700 dos vaksin akan dihantar ke Malaysia pada awal Julai bersama tambahan penghantaran bekalan lagi bagi beberapa minggu ke depan.

Setakat ini, lebih 828,000 dos vaksin AstraZeneca telah dihantar ke Malaysia bagi kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selain vaksin Pfizer dan Sinovac.

Dalam sebuah kenyataan, AstraZeneca berkata pihaknya sedang menyusun penghantaran sebanyak 6.4 million dos vaksin antara pertengahan tahun ini sehingga awal tahun depan bagi menyokong usaha penghantaran jutaan bekalan vaksin melalui kemudahan Covax dan derma orang ramai.

Dalam pada itu, Presiden AstraZeneca Dr Sanjeev Panchal berkata jangkaan penghantaran awal itu menunjukkan usaha kerajaan, industri dan agensi lain dalam menyokong sektor kesihatan dan ekonomi.

“Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak lain sepanjang tempoh pandemik yang menyaksikan peningkatan kes, demi meletakkan Malaysia di landasan untuk kembali pulih secepat mungkin,” tambahnya.

Vaksin AstraZeneca ketika ini menjadi vaksin utama yang dibekalkan kemudahan Covax bagi memastikan negara-negara miskin mendapat akses vaksin dengan kosnya ditanggung oleh derma antarabangsa.

Covax adalah inisiatif global dengan usahasama antara Global Alliance for Vaccines and Immunization (Gavi), sebuah gabungan bagi Kesiapsiagaan Inovasi Epidemik (Cepi) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lebih dari 30 juta dos vaksin AstraZeneca telah dihantar di seluruh Asean setakat ini, dengan lebih 600 juta suntikan diberikan dalam bekalan ke 168 negara.