- Iklan -
Berita

Kes lucut hak RM16 juta keluarga ahli Parlimen Baling didengar Oktober depan

Perbicaraan kes keluarga bekas Abdul Azeez ditetapkan pada 8 Oktober.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama

Perbicaraan kes saman terhadap keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim dan syarikat mereka bagi melucut hak hampir RM16 juta ditetapkan pada 8 Oktober ini.

Dalam saman yang difailkan pada September 2019 itu, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor, dan empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka.

Timbalan pendakwa raya Aslinda Ahad semasa dihubungi berkata kes itu yang pada mulanya ditetapkan untuk didengar semalam ditangguhkan berikutan sekatan pergerakan penuh dan Pelan Pemulihan Negara.

“Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin kemudiannya menetapkan tarikh perbicaraan baharu iaitu pada 8 Oktober semasa prosiding berlangsung secara dalam talian hari ini,” katanya.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga berkenaan untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara perbicaraan kes rasuah Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen selesai.

Azeez, 54, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan itu bagaimanapun, ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.