- Iklan -
Berita

Menteri sokong kempen ‘kibar bendera putih’ di sebalik kempen pemuda PH

Zuraida menyambut baik kempen bendera putih tersebut sebagai tanda prihatin masyarakat terhadap sesama kejiranan mereka yang memerlukan bantuan ekoran terjejas dengan pandemik Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini menyambut baik dan menguar-uarkan kempen #BenderaPutih untuk menaikkan sikap prihatin bantu-membantu sesama masyarakat, ketika ahli politik pembangkang menganggap kempen tersebut sebagai tanda kegagalan kerajaan.

Pemimpin Amanah Shazni Munir berkata kempen mengibarkan bendera putih yang digerakkan tersebut menunjukkan wujud kelembapan agihan bantuan kepada rakyat yang ketika ini didakwanya menghadapi tekanan ekonomi dan kesihatan mental.

Bagaimanapun, dalam sebuah hantaran Facebook, Zuraida sebaliknya menyatakan sokongannya terhadap kempen kibaran bendera golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan memerlukan bantuan bagi menarik perhatian masyarakat yang prihatin.

“Saya bersama dalam kempen #BenderaPutih ini bagi mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan. Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera.

“Jangan musnahkan generasi akan datang. Sampai-sampaikan, agar lebih ramai tahu erti isyarat ini. Semoga dipermudahkan urusan kita semua!,” kata Zuraida dalam sebuah hantaran Facebook.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi setiap ahli Parlimen termasuk daripada pihak pembangkang bagi diagihkan dalam bentuk bakul makanan di kawasan diwakili mereka, selain RM10 juta yang dikhaskan bagi komuniti Orang Asli.

Peruntukan tersebut dimasukkan di bawah inisiatif Pemulih bernilai RM150 bilion bagi mengurangkan impak ekonomi dan sosial sepanjang sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan ketika ini.

Ia juga merupakan langkah terbaru dalam rangka masa yang ditetapkan kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bagi berdepan pandemik Covid-19 yang kini berdepan krisis apabila angka kes meningkat di seluruh negara.

Inisiatif itu juga turut memperuntukkan RM15 juta kepada NGO untuk membantu menangani isu-isu sosial termasuk kesihatan mental dan kehilangan tempat tinggal.