- Iklan -
Berita

Beberapa kawasan perumahan Petaling Jaya dikenakan PKPD

Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa kawasan di PJ mencatatkan peningkatan dalam kes harian Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dijalankan di beberapa kawasan di Petaling Jaya susulan peningkatan kes di kawasan tersebut. Gambar: Bernama
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dijalankan di beberapa kawasan di Petaling Jaya susulan peningkatan kes di kawasan tersebut. Gambar: Bernama

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di beberapa kawasan perumahan di Petaling Jaya bagi memastikan penduduk berisiko jangkitan tinggi kekal dalam kawasan.

Beliau berkata kawasan-kawasan tersebut adalah Mentari Court di PJS 8, taman perumahan SS 91A di Sungai Way, dan Pangsapuri Westlite akan berada dalam PKPD dari 1 hingga 14 Julai.

Katanya, kementerian kesihatan mendapati terdapat 137 kes Covid-19 di Mentari Court, 64 kes di SS 91A dan 215 kes di Pangsapuri Westlite, dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di ketiga-tiga kawasan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti dalam daerah Petaling, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata PKPD juga akan dilaksanakan di Kampung Kubang Jela di Manir, Terengganu, di mana 18 penduduk disahkan positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan sebanyak 54.3%.

Sementara itu, antara kawasan yang dilaksanakan PKPD selama dua minggu adalah Kampung Balung Cocos di Tawau, Sabah yang mencatatkan sembilan kes positif dengan kadar kebolehjangkitan sebanyak 33.33% dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa di Kuala Lumpur.

Ismail berkata 171 kes positif Covid-19 dicatatkan di flat Pantai Ria manakala 153 orang sah positif di Taman Bukit Angkasa.