- Iklan -
Berita

Agong ulangi gesaan Parlimen bersidang semula secepat mungkin

Gesaan itu dizahirkan selepas pertemuan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan timbalan masing-masing mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini. Gambar: Istana Negara
Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan timbalan masing-masing mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini. Gambar: Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini sekali lagi menggesa persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin susulan pertemuan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta timbalannya di Istana Negara.

Dalam sebuah kenyataan, Sultan Abdullah turut berkata persidangan Parlimen itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan ordinan darurat yang dikeluarkan dapat dibentang di parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan persekutuan.

“Susulan sesi mengadap ini dan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah berlangsung pada 16 Jun 2021. Seri Paduka Badinda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen,” kata Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Fadil Shamsuddin dalam kenyataan itu.

Selain itu, Sultan Abdullah turut menzahirkan pandangan bahawa semua jawatankuasa pilihan Parlimen hendaklahmeneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjadi tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

“Perlu diperjelaskan di sini bahawa pandangan dan seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Badindan dan Duli-Duli Yang Maha Mulia raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai raja berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” tambahnya lagi.

Terdahulu, beberapa pertemuan telah diadakan di Istana Negara antara Sultan Abdullah dan pemimpin-pemimpin parti politik.

Pada 16 Jun, Agong telah mengeluarkan kenyataan supaya sidang Parlimen Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan lain, Raja-Raja Melayu turut menyuarakan persetujuan mereka terhadap Agong yang mahu sidang Parlimen diadakan segera selain menyatakan tiada keperluan untuk darurat diteruskan selepas 1 Ogos depan.

Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sudah ditangguh sejak darurat diisytiharkan pada Januari lalu bersama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.