- Iklan -
Berita

Tanggungjawab moral peguam negara jelaskan isu Perlembagaan, kata ahli Parlimen Sarawak

Ali Biju berkata Idrus Harun harus dipuji kerana memberikan penjelasan mengenai perkara itu, bukannya difitnah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Saratok Ali Biju. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Saratok Ali Biju. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Saratok Ali Biju hari ini berkata peguam negara mempunyai tanggungjawab moral dan khidmat awam untuk menjelaskan isu-isu mengenai Perlembagaan sekali gus membidas kritikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menuduh Idrus Harun melakukan penderhakaan terhadap Agong selepas kenyataannya mengenai sistem raja berperlembagaan.

Ali berkata, Idrus memberikan kenyataan tersebut sebagai respons terhadap pandangan dan pendapat mengelirukan yang tersebar dalam kalangan masyarakat mengenai peranan raja dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam negara dalam ruang lingkup tugasnya sebagai ketua peguam kerajaan bukan sahaja mempunyai tanggungjawab moral tetapi yang lebih penting adalah khidmat awamnya untuk menjelaskan kepada masyarakat Malaysia tafsiran Perlembagaan yang betul dan apa maksud raja berperlembagaan dalam konteks Persekutuan Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Peguam negara melaksanakan tugasnya dengan baik untuk memberi penjelasan mengenai masalah ini dan untuk ini dia sepatutnya dipuji, bukan difitnah.”

Minggu lalu, Idrus berkata Yang di-Pertuan Agong masih berada dalam sistem raja berperlembagaan yang tertakluk dengan nasihat Kabinet walaupun negara menguatkuasakan perintah darurat.

Beliau turut berkata walaupun Agong boleh menggunakan kuasanya untuk memanggil sidang Parlimen seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 55 Perlembagaan Persekutuan dan juga ordinan darurat, peranan itu perlu dijalankan di bawah sistem raja berperlembagaan.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, dan Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan,” kata Idrus.

Penjelasan tersebut juga dikeluarkan susulan kenyataan berasingan oleh Agong dan Raja-Raja Melayu yang bersetuju bahawa persidangan Parlimen harus diadakan secepat mungkin bagi membolehkan peraturan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan di Dewan Rakyat.

Perintah darurat yang dijangka akan berkuat kuasa hingga Ogos depan, diisytiharkan pada pertengahan Januari lalu di bawah Klausa (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Majlis Presiden PH berkata kenyataan Idrus telah telah melampaui
batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu selain turut menuduh Idrus telah mengenepikan semangat Perlembagaan

“Dan (ini) memberi gambaran peguam negara telah mengenepikan institusi Raja-Raja Melayu untuk melindungi sebuah kerajaan yang mahu berkuasa mutlak tanpa kawalan mahupun batas waktu,” katanya dalam kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mereka juga berkata kenyataan Idrus sepatutnya disampaikan kepada Agong secara rahsia dan tidak dilakukan secara terbuka, menyimpulkan ia sebagai “pelanggaran kerahsiaan antara peguam dan anak guam”.

“Kenyataan peguam negara ini adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang
di-Pertuan Agong, dan beliau mesti dipecat segera,” kata mereka.

Bagaimanapun, Ali membidas tuduhan pemimpin Pakatan yang mendakwa Idrus menderhaka dan menyifatkannya sebagai “satu hal yang cuba menyelewengkan fakta dan satu lagi usaha untuk menipu rakyat Malaysia”.

“Mengapa hendak tuntut dia letak jawatan sedangkan dia hanya melakukan tugasnya?”