Wednesday, July 21, 2021

Kurang maklumat punca vaksinasi perlahan dalam kalangan miskin kota, gelandangan

Mereka berharap agar dapat disuntik segera namun tidak tahu cara mendaftarkan diri untuk vaksinasi.

Other News

Sejak sedekad dahulu, Rubi dan keluarganya tinggal di bilik sewa Lorong Haji Taib, Chow Kit Road. Sebuah kawasan di Kuala Lumpur yang terkenal dengan aktiviti pelacuran.

Pada satu ketika, Rubi pernah tinggal di Semenyih, Selangor, tidur beralaskan kotak di jalanan.

Sebetulnya, menyewa bilik di Lorong Haji Taib itu, walaupun tidak mewah, cukup untuk Rubi dan keluarga berteduh.

Empat orang ahli keluarganya berteduh di bilik itu: dia, suami dan dua orang anak. Suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala Rubi menjaga dua orang anak mereka secara sepenuh masa.

Namun keadaan di bilik itu tidaklah lebih baik dari jalanan.

Bilik tidur utama itu dikongsi empat beranak tersebut beserta barangan mereka.

Kunjungan MalaysiaNow ke bilik kediaman mereka memperlihatkan keadaan yang sangat menyedihkan.

Dari luar, bau hanyir dan kurang menyenangkan menusuk rongga hidung.

Keadaan bilik yang dipenuhi barangan keluarga itu seakan “menghimpit” pengunjung yang melawat.

Di kawasan ruang tamu, tuan rumah memasang “partition” dan membuat sebuah lagi bilik untuk disewakan.

Keadaan bilik Rubi yang kecil yang penuh dengan barangan.

Berjirankan penagih dadah, sekeluarga itu masih bertahan dan tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat itu.

Wanita itu hanya mempunyai alat pemasak nasi, namun tidak mempunyai dapur.

Mi segera menjadi makanan ruji mereka sekeluarga kerana Rubi tidak mampu memasak lauk untuk keluarganya. Lauk-pauk dibeli di kedai.

Pelbagai dugaan ditempuh di Chow Kit, namun yang paling mencabar ialah persekitaran yang tidak selamat untuk anak-anaknya membesar.

Dikelilingi pekerja seks dan penagih dadah, Rubi gusar akan nasib dua orang anaknya yang masih bersekolah.

“Anak-anak saya sekolah di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih. Setiap hari persekolahan mereka akan berjalan kaki untuk ke sana.

“Kalau tanya saya, memang hendak pindah dari sini,” katanya.

Rubi dan dua anaknya mendapat bantuan barangan asas keperluan harian seperti telur dan beras.

Dia antara golongan keluarga tercicir dan golongan gelandangan di ibu kota yang masih belum mendapat suntikan vaksin.

Meskipun mempunyai MySejahtera, namun Rubi menyangka aplikasi itu hanya digunakan untuk mendaftar masuk ke premis.

“Saya dan kawan-kawan di Chow Kit ada juga dengar mengenai vaksin untuk warga gelandangan tetapi saya dan rakan-rakan tidak tahu bagaimana untuk dapatkan vaksin,” katanya merujuk kepada porgram di bawah kementerian Wilayah Persekutuan.

Seperti Rubi, rata-rata golongan gelandangan yang ditemui MalaysiaNow sedar mengenai usaha imunisasi yang sedang giat dijalankan.

Mereka juga sedar mengenai program vaksinasi untuk gelandangan namun tidak tahu caranya untuk mendaftarkan diri, atau masih belum dihampiri oleh pihak berkuasa.

Ketika ditemui, dua gelandangan kaum Cina di sekitar Chow Kit yang enggan dikenali turut menyatakan hasrat untuk disuntik namun mereka tiada telefon untuk mendaftar di MySejahtera.

Sambil menunjukkan isyarat suntikan di bahu, mereka juga tahu mengenai pusat pemberian vaksin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berhampiran kawasan itu, namun tidak tahu bagaimana cara mendaftar.

Cik Wan menunjukkan pendaftaran vaksinasi dari aplikasi MySejahtera.

Seorang gelandangan yang dikenali sebagai Cik Wan lebih bernasib baik kerana selain mempunyai telefon, dia juga cakna tentang pendaftaran diri menerusi MySejahtera.

“Saya daftar di MySejahtera awal bulan ini dan masih menunggu nama saya,” katanya yang menetap sementara di sebuah bilik di hotel berhampiran yang dibayarnya secara harian.

Cik Wan yang hidup bersama tiga anaknya itu juga sedar mengenai program vaksin untuk gelandangan namun seperti Rubi, dia tidak tahu cara untuk mendaftar.

“Saya ada dengar juga mengenai program itu, tapi kawan-kawan saya belum lagi dapat pergi. Kalau mereka dapat, tentu mereka bagitahu kita semua,” katanya.

Ditanya mengenai sekiranya ada kebimbangan terhadap vaksin, Rubi berkata dia yakin dengan apa yang diberitahu oleh pihak berkuasa.

“Saya mendengar daripada orang yang dah disuntik yang mereka mengalami demam dan tidak sihat.

“Tapi saya percaya dengan apa doktor beritahu saya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles