- Iklan -
Berita

KKM beri cuti, saring kesihatan mental elak petugas kesihatan alami tekanan melampau

Cuti tanpa rekod itu akan diberikan dengan persetujuan ketua jabatan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Petugas kesihatan yang terlibat dalam pengendalian wabak Covid-19 akan diberikan cuti tanpa rekod dengan persetujuan ketua jabatan bagi mengelakkan gejala tekanan yang melampau atau lesu upaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan kesihatan mental juga akan sentiasa dilaksana ke atas kakitangan kesihatan dan petugas barisan hadapan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai tanda-tanda awal tekanan, keresahan serta kemurungan.

Beliau berkata langkah itu merupakan antara inisiatif yang diwujudkan oleh kementerian kesihatan (KKM) bagi menangani gejala tekanan melampau khususnya dalam kalangan kakitangan kesihatan dan petugas barisan hadapan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Bantuan psikologi akan diberikan kepada mereka yang bermasalah dan dirujuk kepada kaunselor atau pakar psikiatri mengikut keperluan,” menurutnya dalam sebuah kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata petugas akan diberikan kad pemberitahuan kesihatan mental apabila selesai menjalankan tugas bagi pemantauan kendiri tahap kesihatan mental mereka.

Katanya selain mengamalkan konsep pusingan kerja, pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) KKM akan ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) seperti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang untuk memberikan perkhidmatan kaunseling serta intervensi psikososial kepada kakitangan dan pesakit.

Beliau turut menggesa semua petugas barisan hadapan untuk sentiasa mengambil berat aspek kesihatan mental di samping komitmen yang tidak berbelah bagi dalam memberi perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit khususnya sepanjang tempoh melawan pandemik Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata pasukan MHPSS akan sentiasa berkolaborasi dengan pelbagai agensi dan kementerian bagi menangani masalah lesu upaya dalam kalangan petugas kesihatan serta mengambil tindakan yang sesuai untuk mencegah masalah ini daripada terus berlaku.

“Bantuan serta kaunseling sentiasa akan dihulurkan kepada mana-mana individu yang memerlukan khususnya petugas barisan hadapan,” katanya.

Kajian yang dijalankan ke atas 893 petugas kesihatan mengenai Prevalen dan ‘Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Lesu Upaya Dalam Kalangan Petugas Barisan Hadapan di Malaysia Semasa Pandemik Covid-19’ mendapati prevalen lesu upaya berkaitan peribadi ialah sebanyak 53.8%.

Beliau berkata paling tinggi (lesu upaya berkaitan peribadi) ialah dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan di peringkat daerah.

Dr Noor Hisham berkata prevalen lesu upaya berkaitan pekerjaan ialah sebanyak 39.1% yang menyaksikan penolong pegawai kesihatan persekitaran dan petugas makmal mencatatkan peratusan tertinggi.

Katanya prevalen lesu upaya berkaitan pesakit ialah sebanyak 17.4% dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta.

Antara faktor yang mencetus situasi lesu upaya dalam kalangan petugas kesihatan ialah bebanan tugas yang tinggi, ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang, adaptasi terhadap prosedur operasi standard yang pelbagai, rancangan kerjaya terganggu serta kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya.