- Iklan -
Berita

Kerajaan peruntuk RM493 juta kekalkan rebat elektrik 2 sen

Inisiatif tersebut mendapat peruntukannya melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan mengumumkan kadar rebat elektrik pengguna TNB kekal bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember. Gambar: Bernama
Kerajaan mengumumkan kadar rebat elektrik pengguna TNB kekal bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember. Gambar: Bernama

Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj sekali gus mengekalkan rebat elektrik sebanyak 2 sen bagi pemilik akaun TNB Sabah dan semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anwar Nasarah berkata kos Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang perlu diselaraskan adalah berjumlah RM638.98 juta. Ini bermakna bahawa kadar rebat elektrik yang boleh dilepaskan kepada pengguna ialah sebanyak 1.13 sen/kWj berbanding kadar rebat bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 iaitu 2 sen/kWj.

“Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid 19, kerajaan telah bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj yang melibatkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana KWIE.

“Pemberian rebat tambahan ini membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak 5% bagi tempoh tersebut,” kata Shamsul dalam sidang media hari ini.

Selain itu, beliau turut berkata pengguna-pengguna di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik dari NUR Power Sdn Bhd juga akan diberikan rebat elektrik sebanyak 2 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

“Ini merupakan kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif Incentive-Based Regulations dilaksanakan pada tahun 2017.

Menurutnya, pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlakunya penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2020.

Dalam pada itu, Shamsul berkata selain pembiayaan rebat tambahan ini, kerajaan turut bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk negeri-negeri semenanjung dan Sabah.

“Justeru apa yang saya umumkan hari ini berbeza berbanding diskaun. Namun penting kerana Kerajaan telah bersetuju membelanjakan RM493 juta agar tidak berlaku kenaikan tarif elektrik, dan mengekalkan sebagaimana sekarang,” jelasnya.

Shamsul berkata butiran lanjut mengenai inisiatif terbaru kerajaan ini akan diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.