- Iklan -
Berita

PKP dilanjutkan, bantuan menyusul, kata PM

Fasa pertama Pelan Pemulihan Negara akan diteruskan sehingga nilai ambang jangkitan harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa tidak ditamatkan esok.

Beliau berkata, fasa pertama Pelan Pemulihan Negara akan diteruskan sehingga nilai ambang jangkitan harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes dan akan kekal sehingga ketiga-tiga indikator yang ditetapkan dicapai.

“Susulan langkah itu juga, kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada esok atau Selasa ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan empat fasa melalui Pelan Pemulihan Negara dan menyasar negara akan masuk ke fasa kedua pada Julai atau Ogos ini apabila nilai ambang yang ditetapkan berjaya dicapai.

Antara indikator ditetapkan untuk beralih dari fasa pertama kepada fasa kedua adalah kes jangkitan harian kurang daripada 4,000, penggunaan katil dalam wad unit rawatan rapi berada pada paras sederhana dan kadar vaksinasi mencapai 10 peratus populasi.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata negara akan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara jika kes purata harian jatuh ke paras bawah 4,000 bagi tujuh hari berturut-turut.

Beliau turut berkata penggunaan katil ICU juga perlu berada di bawah 75% selain 10% populasi negara divaksinasi.

Muhyiddin turut berkata beliau akan mengumumkan perincian bantuan tersebut merangkumi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Kita faham bila di fasa begini (fasa pertama PKP 3.0) dan seterusnya sampai ke akhir tahun, semua tunggu apakah kerajaan akan tolong kumpulan yang terkesan? Kumpulan B40 dan M40 dah tentu (dibantu) termasuk dalam pemberian moratorium, kumpulan T20 juga ada (yang layak),” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid hari ini.

Beliau turut berkata bantuan yang akan diumumkan akan mengambil kira keperluan semua kumpulan yang terjejas wabak Covid-19, secara lebih komprehensif jika dibandingkan sebelum ini.

“Perinciannya akan saya maklumkan esok atau lusa supaya semua tahu di mana kita berada, tapi apa yang penting kita beri sokongan kepada semua kumpulan masyarakat,” katanya sambil membayangkan kemungkinan akan terdapat peningkatan dalam bantuan yang akan diberikan itu.