- Iklan -
Berita

Pfizer, Sinovac, AstraZeneca sesuai untuk ibu mengandung, kata Khairy

Ketiga-tiga vaksin itu sesuai diberikan kepada ibu hamil berdasarkan panduan yang dikemas kini kementerian kesihatan (KKM).

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menyediakan suntikan vaksin Pfizer sebelum vaksin disuntik kepada penerima. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan menyediakan suntikan vaksin Pfizer sebelum vaksin disuntik kepada penerima. Gambar: Bernama

Vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai diberikan kepada golongan ibu mengandung berdasarkan panduan yang dikemas kini kementerian kesihatan (KKM).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun Pfizer kekal disyorkan manakala AstraZeneca dan Sinovac kini juga telah diklasifikasikan sebagai bersesuaian.

“AstraZeneca tidak lagi dikontraindikasikan kepada kehamilan dan Sinovac pula disyorkan oleh laporan interim Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk ibu hamil dan menyusukan anak berikutan manfaatnya jauh lebih besar daripada potensi risiko yang dikaji,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) hari ini.

Khairy berkata setakat ini, hampir 109,607 pendaftaran vaksin bagi golongan ibu mengandung diterima di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 11,663 dijangka bersalin (EDD) pada Ogos ini dan golongan itu diberi keutamaan.

Katanya, lebih 10,000 ibu mengandung telah diberi janji temu dengan nota ‘Expectant Mother’ pada janji temu mereka.

Beliau berkata lebih kurang 6,000 ibu mengandung dijadualkan janji temu di PPV MITEC dan PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk menerima vaksinasi hujung minggu ini dan ia berlangsung di seluruh negara dengan jumlah yang berbeza.

Ibu mengandung kekal menjadi penerima vaksin Covid-19 berkeutamaan tinggi berdasarkan risiko jangkitan Covid-19 untuk kumpulan itu, katanya.

Mengenai industri, Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata sebanyak empat PPV industri sedang beroperasi manakala 19 lagi akan beroperasi menjelang akhir bulan ini.

Beliau berkata PPV industri minyak dan gas di Kerteh, Terengganu akan beroperasi pada 1 Julai dan PPV Industri Eastern Steel di Kemaman pula beroperasi pada 2 Julai.