Thursday, July 29, 2021

‘Bangkit dari mimpi ngeri ciptaan anda’, speaker Dewan Rakyat selar Anwar

Azhar Harun menggesa Anwar Ibrahim dan ahli politik lain berhenti mempolitikkan isu berkait dengan pembukaan sidang Parlimen.

Other News

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menggesa Anwar Ibrahim dan ahli politik lain berhenti mempolitikkan isu berkait dengan pembukaan sidang Parlimen, selepas ketua pembangkang itu mendakwa pejabat speaker digunakan kerajaan untuk melengah-lengahkan pembukaan Parlimen.

Dalam kenyataan yang tegas, Azhar berkata dakwaan Anwar sebagai tidak berasas dan menambah ahli Parlimen Port Dickson yang sudah lama dalam politik dan pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri seharusnya sedar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perintah tetap berhubung perkara itu.

“Anwar harus bangkit daripada mimpi ngeri ciptaannya bahawa seluruh dunia berkonspirasi menetangnya dan kepetingannya,” kata Azhar dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow dan menambah inisiatif digerakkannya dan Speaker Dewan Negara Rais Yatim berhubung Parlimen secara hibrid tidak seharusnya dipolitikkan.

Anwar hari ini mendakwa wujud percubaan untuk melengahkan pembukaan semula Parlimen, sehari selepas Peguam Negara Idrus Harun mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kuasa yang dimiliki Agong dalam memanggil Parlimen untuk bersidang.

Idrus berkata Agong masih tertakluk kepada nasihat Kabinet dalam melaksanakan tugas-tugas rasminya, sejajar dengan beberapa pandangan pakar-pakar perundangan terkemuka yang dikeluarkan sejak beberapa hari lalu.

Anwar berkata sebarang langkah untuk melengahkan gesaan Agong bagi Dewan Rakyat bersidang semula boleh dianggap sebagai menghina Istana Negara.

Beliau turut mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba untuk menggunakan pejabat speaker dewan dalam usaha melengah-lengahkan sidang Parlimen dibuka semula.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan palsu Anwar yang mengatakan kerajaan menggunakan Parlimen atau pejabat saya untuk melengah-lengahkan persidangan Parlimen,” kata Azhar dalam respons beliau terhadap kenyataan terbaru pemimpin PKR itu.

“Saya mahu jelaskan sekali lagi bahawa rangka perlembagaan tidak memberi kuasa kepada saya untuk membuka semula Parlimen.”

Beliau seterusnya menjelaskan dirinya sedia untuk melaksanakan tugasnya sebagai speaker sejurus selepas Agong memanggil Parlimen berdasarkan peruntukan kuasa yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sedia untuk adakan persidangan, walaupun malam ini perlu diadakan,” tambahnya.

Azhar berkata Anwar dan beberapa ahli Parlimen lain bebas untuk menolak sidang Parlimen hibrid yang dicadangkan.

“Kami hanya cuba untuk menawarkan kemudahan ini bagi mengurangkan risiko ahli Parlimen dan pegawai-pegawai awam lain yang akan hadir ke Parlimen, serta keluarga mereka daripada dijangkiti virus Covid-19 dan kematian akibat virus ini.

“Jika Anwar dan ahli-ahli Parlimen lain fikir sebaliknya, saya langsung tiada masalah dengannya.”

‘Percubaan untuk cetus konflik dengan istana’

Dalam pada itu, Azhar berkata beliau kecewa dengan dakwaan ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming yang menuduh beliau menentang titah Agong, menyifatkan dakwaan itu sebagai percubaan untuk mencetuskan konflik antara pejabatnya dengan Istana Negara.

“Saya tak pernah menentang atau cuba mengabaikan kemahuan Tuanku Agong. Saya tak pernah dalam apa keadaan sekali pun berkata Parlimen harus bersidang secepat mungkin dan saya tak tahu bagaimana dan mengapa Nga boleh membuat kesimpulan demikian,” kata Azhar.

Nga yang merupakan ahli Parlimen Teluk Intan yang berkhidmat sebagai timbalan speaker sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan berkata cadangan dari Azhar dan Rais bahawa Parlimen boleh dibuka semula selepas beberapa isu perundangan dan teknikal diselesaikan sudah menjejaskan peranan Parlimen sebagai badan semak dan imbang kerajaan.

“Di sebalik menghormati titah Agong, sangat mengejutkan apabila kita lihat Yang di-Pertua Dewan Negara & Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan bersama semalam menyatakan mereka memerlukan masa untuk mengkaji mekanisme bagaimana untuk mengadakan sidang Parlimen,” kata Nga.

Azhar berkata sebaliknya, beliau juga turut berjuang supaya Nga dan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain dapat turut serta dalam jawatankuasa kerja bagi membahaskan syarat-syarat sidang Parlimen hibrid.

“Jelas sekali usaha-usaha saya ini dianggap sia-sia,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles