Thursday, August 5, 2021

Tak perlu waran untuk periksa kepatuhan SOP, kata menteri

KDN meminta majikan supaya jangan menipu dalam operasi syarikat dan patuhi SOP PKP 3.0.

Other News

Agensi penguatkuasa tidak memerlukan sebarang waran bagi memeriksa dan menyerbu sektor perkilangan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata ini kerana perkara itu tertakluk di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Januari lepas.

“Pada ketika ini, kita mengikut Ordinan Darurat, kita boleh masuk dan memeriksa premis kerana mereka beroperasi dengan kebenaran pihak kita (kerajaan) mengikut syarat yang ditetapkan.

“Namun jika mereka melanggar syarat, tidak perlu waran… pihak berkuasa boleh terus masuk dan membuat pemantauan ke premis-premis berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan pematuhan SOP PKP di dua kilang sekitar Puchong dan Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia Chin Chee Seong dalam satu laporan portal berita yang mengatakan pasukan serbuan tidak menunjukkan sebarang surat rasmi atau waran semasa melakukan pemantauan.

Hamzah turut meminta sektor perkilangan agar tidak melakukan penipuan dengan beroperasi melanggar SOP PKP antaranya membenarkan bilangan pekerja melebihi kapasiti dan beroperasi melebihi waktu dibenarkan.

“Kita menerima banyak aduan daripada orang ramai dan minta majikan supaya jangan menipu. Dalam situasi negara kini, majikan perlu berkorban dan semua pihak perlu bekerjasama supaya wabak Covid-19 ini tidak menular,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Soh Thian Lai dalam laporan sama bahawa pihak berkuasa sering membuat serbuan sehingga mengganggu operasi kilang, beliau berkata pemeriksaan dibuat berdasarkan aduan awam dan kehadiran pihak berkuasa hanya untuk memastikan tiada pelanggaran SOP.

Hamzah berkata selagi pihaknya menerima laporan dan masih ada lagi yang melakukan kesalahan melanggar SOP, pemeriksaan dan pemantauan akan terus dilakukan.

Ketika mengulas dakwaan bahawa berlaku pelanggaran SOP di pusat latihan polis (Pulapol) yang tular di media sosial hari ini, beliau berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kalau ada tuduhan atau dakwaan, kita akan selidik dahulu. Sekiranya ada arahan yang menyalahi undang-undang, kita akan ambil tindakan terhadap pegawai tersebut,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles