- Iklan -
Berita

Speaker komited adakan sidang Parlimen akhir Ogos atau awal September

Pembukaan sidang Parlimen tertakluk kepada beberapa aspek undang-undang dan teknikal.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak perintah darurat diisytiharkan sejak Januari lalu.
Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak perintah darurat diisytiharkan sejak Januari lalu.

Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara hari ini mencadangkan sidang khas Parlimen secara hibrid pertama yang dijangka akan dilaksanakann sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya awal September.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dan rakan sejawatnya di Dewan Negara Rais Yatim turut berkata mereka komited untuk melaksanakan persidangan Parlimen secepat mungkin seperti yang telah dititahkan Raja Melayu minggu lalu yang tertakluk dengan aspek undang-undang dan teknikal.

Mereka turut mencadangkan sidang Dewan Rakyat pada awal Ogos bagi memastikan penyertaan ahli-ahli Parlimen berpandukan butiran sidang maya Parlimen yang telah dirancang termasuk pemindaan Peraturan Mesyuarat dan beberapa aspek teknikal yang lain.

Mereka berkata jawatankuasa khas persidangan Parlimen secara hibrid yang ditubuhkan telah memberi komitmen untuk melakukan “segala yang terdaya” untuk mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin seperti yang dititahkan Agong dengan mengambil maklum “komitmen dan kuasa perdana menteri selaku ketua majlis” untuk menetapkan tarikh persidangan.

Bagaimanapun, mereka berkata persidangan Parlimen secara hibrid ini memerlukan sedikit tempoh untuk dijayakan kerana beberapa persiapan daripada aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan perlu dilakukan.

“Hal-hal persiapan ini telah dimaklumkan kepada perdana menteri selaku ketua majlis semalam dan telah mendapat kerjasama serta galakan yang amat baik,” kata Azhar dan Rais dalam kenyataan bersama itu.

Mereka berkata jawatankuasa untuk melaksanakan persidangan hibrid itu menjangka kesemua aspek perundangan akan dapat diselesaikan pada akhir Julai sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

“Dengan andaian itu, adalah dicadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan pada awal Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kementerian kesihatan,” tambahnya.

Mereka turut berkata sesi sidang khas yang dicadangkan itu adalah penting bagi melibatkan seluruh ahli Parlimen dalam perbincangan mengenai perincian mengenai persidangan secara hibrid tersebut.

Perincian tersebut antara lain termasuk cadangan hanya 26 ahli Parlimen dibenarkan hadir secara fizikal bagi menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan kehadiran 10 senator di Dewan Negara dan yang selebihnya mempunyai pilihan untuk hadir secara fizikal tertakluk kepada syarat mesyuarat.

“Sekirana cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikir masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian, pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga ahli-ahli Parlimen.”