- Iklan -
Berita

Program pemberian vaksin sektor pembinaan bermula 1 Julai, kata Khairy

Pemberian vaksin bagi sektor itu akan difokuskan kepada tapak pembinaan dan projek perlu yang masih beroperasi sewaktu PKP.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Program pemberian vaksin Covid-19 bagi sektor pembinaan akan dimulakan pada 1 Julai ini dengan penyelarasan bersama kementerian kerja raya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pemberian vaksin bagi sektor itu akan difokuskan kepada tapak pembinaan dan projek perlu yang masih beroperasi sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kita memberi tumpuan kepada semua sektor ekonomi penting yang kini dibuka dan beroperasi,” katanya pada sidang media program pertama pemberian vaksin sektor pengangkutan dikendalikan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bermula hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata pihaknya juga akan memperluas program pemberian vaksin kepada sektor perladangan yang masih dalam peringkat perbincangan.

“Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sudah mula perbincangan dengan kementerian perusahaan perladangan dan komoditi sebab ladang-ladang juga masih beroperasi.

“(Ini dalam usaha) untuk kita membawa pusat pemberian vaksin (PPV) industri ini ke ladang-ladang ataupun estet untuk pekerja-pekerja,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata sehingga semalam negara mencapai 15.1 peratus mereka yang disuntik dos pertama dan 5.8 peratus lengkap suntikan dua dos.

“Jadi kita semakin menghampiri nilai ambang 10 peratus yang diperlukan untuk kita membuat peralihan kepada fasa dua (sekatan pergerakan penuh) sama dengan nilai ambang jangkitan dan juga nilai ambang kemudahan unit rawatan rapi hospital,” katanya.

Terdahulu, Khairy berkata pemberian vaksin sektor pengangkutan yang bermula hari ini akan membabitkan tiga mod industri itu meliputi maritim, udara dan darat yang beroperasi sepanjang PKP.

Beliau berkata menerusi pemberian di PPV pertama sektor pengangkutan maritim di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang itu, seramai 10,000 orang pelaut dan petugas pelabuhan dijangka menerima suntikan bagi fasa pertama.