- Iklan -
Berita

Masyarakat Rohingya ibu kota mahu divaksin, namun tidak tahu prosesnya

Mereka yakin tidak berlaku operasi ketika vaksinasi, hargai sebarang bentuk bantuan untuk kelangsungan hidup.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pelarian Myanmar Islam, menyuap makanan kepada anaknya di koridor kediamannya, mereka menghabiskan masa berbual dengan jiran tetangga disepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 Jun 2021 di Selayang.
Pelarian Myanmar Islam, menyuap makanan kepada anaknya di koridor kediamannya, mereka menghabiskan masa berbual dengan jiran tetangga disepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 Jun 2021 di Selayang.

Ketika Malaysia berusaha keras bagi mencapai imuniti kelompok, masyarakat Rohingya di ibu kota turut menyatakan hasrat ingin divaksinasi bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19, meskipun masih belum ada usaha dari pihak berkuasa.

Bagaimanapun, rata-rata yang ditemui MalaysiaNow berkata mereka tidak tahu cara atau proses untuk mendapatkan vaksin.

Menurut laman web Our World in Data, Malaysia sudah memberikan 6.3 juta dos vaksin, melibatkan 1.73 juta individu yang sudah menerima dua dos vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 10% populasi menerima dua dos vaksin pada pertengahan Julai.

Seorang pelarian Rohingya, Isa Musa berkata, mereka tidak mempunyai sebarang masalah atau keraguan dengan vaksin serta akur dengan apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) dan saranan kesihatan yang dikemukan kerajaan, termasuk gesaan untuk mengambil vaksin.

“Kita (masyarakat Rohingya) tahu mengenai vaksin, tapi tiada sesiapa datang berjumpa kami. Kami semua belum dicucuk lagi. Kalau dapat (vaksin), Alhamdulillah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Isa merupakan pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) sejak awal tahun 2000.

Keluarga Isa dan beberapa keluarga Rohingya lain menetap di sebuah rumah kongsi di Selayang.

Dianggar terdapat tujuh hingga lapan orang warga emas di rumah kongsi itu dan lebih 20 kanak-kanak dan orang dewasa Rohingya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meminta Malaysia melibatkan pendatang asing, pelarian dan individu tanpa dokumen dalam PICK.

Ia selepas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mahu menahan pendatang asing tanpa dokumen dan menyatakan mereka yang tidak mempunyai dokumen tidak boleh divaksin.

Kegusaran juga timbul mengenai kumpulan pelarian yang mungkin ditahan dalam operasi oleh pihak berkuasa.

Ketika ditemui, Isa menunjukkan aplikasi MySejahtera dalam telefon miliknya namun ia hanya digunakan untuk merekod kehadiran di premis kedai.

Dia tidak mempunyai profil MySejahtera yang digunakan rakyat Malaysia bagi mendaftarkan diri untuk vaksin.

Beberapa warga Rohingya lain di rumah kongsi itu langsung tidak mempunyai MySejahtera dan hanya menulis nama di buku ketika ingin memasuki premis perniagaan.

Seorang lagi pelarian, Hassan Muhammad berkata, masyarakat Rohingya mengharapkan agar ada pihak yang berhubung dengan mereka mengenai vaksinasi.

“Kalau kerajaan bagi vaksin saya mahu tapi kita tak tahu apa syarat. Tiada orang panggil kita, kita pun tak pasti,” katanya.

Katanya, masyarakat Rohingya mengalu-alukan pihak kerajaan atau UNHCR berjumpa dan mendaftarkan mereka untuk program imunisasi.

Ditanya mengenai kegusaran sekiranya ditangkap oleh pihak berkuasa, dia berkata itu hanya sekadar cakap-cakap orang.

“Kalau kita tak buat salah, buat apa takut. Memang ada antara kami yang tidak mempunyai kad UNHCR ditahan, namun keluarga kami rata-rata mempunyai kad UNHCR, tak perlu takut,” kata bapa kepada empat anak itu.

Isa pula berkata, kegusaran yang lebih besar bagi orang Rohingya ialah kehilangan mata pencarian ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kebanyakan mereka mengambil upah harian seperti mengutip sampah, besi buruk dan barangan terpakai selain menyapu sampah di kawasan tumpuan mereka di sekitar Selayang, namun pergerakan mereka terhalang akibat PKP.

Tambah Isa, keluarga Rohingya di rumah kongsi itu hanya mengharapkan bantuan demi bantuan dalam bentuk makanan yang tiba daripada ihsan orang ramai dan pihak-pihak tertentu, manakala anak-anak mereka tidak mampu meneruskan pengajian di pusat tahfiz seperti sebelum ini, akibat kekurangan wang.

“Kita memang tak boleh kerja (semasa PKP). Orang bagi makan, kita makan. Kalau yang tua, anak bantulah. Kalau anak tak dapat bantu, kita puasa sahaja,” kata Isa.