- Iklan -
Berita

Kumpulan majikan rayu kali kedua supaya kerajaan buka semula sektor perniagaan

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia berkata ketika satu strategi tidak berjaya, kaedah lain perlu dicari untuk dilaksanakan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pengunjung melalui deretan kedai-kedai yang menutup perniagaannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.Suasana dikawasan ini kelihatan lengang dari kunjungan orang ramai berikutan perintah kawalan pergerakan secara penuh bermula pada 1 Jun hingga 28 Jun 2021.
Beberapa pengunjung melalui deretan kedai-kedai yang menutup perniagaannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.Suasana dikawasan ini kelihatan lengang dari kunjungan orang ramai berikutan perintah kawalan pergerakan secara penuh bermula pada 1 Jun hingga 28 Jun 2021.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (​MEF) hari ini sekali lagi merayu supaya kerajaan membuka semula sektor perniagaan, mengatakan syarikat lebih sanggup menguruskan Covid-19 dan vaksinasi daripada menangani masalah ekonomi yang tidak dapat diperbaiki.

Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman berkata, semakin lama “lockdown” dikuatkuasakan, semakin banyak perniagaan terpaksa ditutup.

Katanya, perkara ini boleh mengakibatkan lebih banyak pekerja kehilangan pekerjaan selain akan terus merosakkan ekonomi.

“MEF merayu supaya kerajaan membuka semula semua sektor perniagaan dengan penerapan SOP yang katat dan hukuman berat.

“Majikan memerlukan ruang bernafas untuk terus meneruskan perniagaan dan kehidupan,” katanya

Pada 23 Jun lalu, MEF berkata harus ada “keseimbangan yang wajar” antara menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

Syed Hussain turut berkata sekatan pergerakan penuh dan kekeliruan terhadap SOP telah “membunuh perniagaan” apabila banyak PKS dan perniagaan mikro terjejas teruk.

Sekatan pergerakan penuh yang telah dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.
Pada awalnya, ia dijadualkan berakhir pada 14 Jun namun dilanjutkan hingga 28 Jun depan berikutan trend peningkatan kes Covid-19 yang kekal tinggi.

Dalam kenyataannya hari ini, Syed berkata syarikat-syarikat “setiap hari menempuh kegagalan” dengan ribuan orang berada di ambang kemuflisan.

“Ini adalah hakikatnya dan tekanan yang dihadapi perniagaan kini sudah mencapai tahap titik didih,” katanya.

Beliau berkata MEF menghargai usaha kerajaan untuk melakukan ujian dan vaksinasi secara besar-besaran dan mengakui bahawa wabak itu telah menimbulkan malapetaka tidak hanya di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Namun, beliau menambah bahawa strategi sekatan pergerakan penuh harus dihentikan kerana tidak efektif.

“Tidak ada penyelesaian mudah, namun ketika strategi yang kita laksanakan tidak berhasil, kita harus segera cari jalan lain agar kita tidak terus menderita.

“Mengikut strategi yang sama untuk jangka waktu yang panjang tidak akan membuahkan hasilnya,” katanya.

Beliau turut menambah “rakyat di jalanan” perlu meneruskan kehidupan, Syed Hussain berkata perniagaan “lebih sanggup menguruskan wabak Covid-19 dan vaksinasi daripada dibebani dengan masalah besar lain ekonomi yang tidak dapat diperbaiki sehingga memberi kesan sosial “.

“Kita boleh hidup dengan SOP tetapi kelangsungan hidup dan kesejahteraan kehidupan mesti diutamakan.”