- Iklan -
Berita

Polis cekup 10 penjudi leka main ‘pai kaw’ dalam semak

Kesemua mereka dikompaun sebanyark RM1,500 kerana gagal patuhi SOP selain turut disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Berkumpul beramai-ramai tanpa  penjarakan fizikal merupakan kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021. Gambar: Bernama
Berkumpul beramai-ramai tanpa penjarakan fizikal merupakan kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021. Gambar: Bernama

Polis menahan 10 individu termasuk tiga wanita warga Vietnam yang leka berjudi menggunakan buah “pai kaw” di kawasan semak di Kampung Baru Penjom, Lipis semalam.

Ketua Polis Lipis Azli Mohd Noor berkata suspek berusia 73 hingga 31 tahun itu ditahan dalam satu serbuan pada 6.20 petang berdasarkan maklumat orang awam dan turut menemukan wang tunai RM2,539 dipercayai wang pertaruhan.

“Semasa intipan, semua suspek dilihat berkumpul mengelilingi sebuah meja lipat dengan beberapa daripada mereka cuba melarikan diri ke arah hutan berhampiran semasa serbuan dilakukan.

“Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan dan pemeriksaan di meja itu menemukan alatan dipercayai digunakan untuk berjudi termasuk 32 buah ‘pai kaw’ dan tiga dadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata semua suspek dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul dan tiada penjarakan fizikal mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.

Selain itu, siasatan lanjut juga dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.