- Iklan -
Berita

Penyokong bertembung polis selepas mahkamah dapati Habib Rizieq bohong

Polis telah menahan lebih 150 penunjuk perasaan sebelum hukuman terhadap Rizieq dijatuhkan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Habib Rizieq berhimpun di mahkamah dan berdoa hari ini. Pemimpin agama yang berpengaruh itu dijatuhkan penjara empat tahun kerana merahsiakan keputusan ujian Covid-19. Gambar: AP
Penyokong Habib Rizieq berhimpun di mahkamah dan berdoa hari ini. Pemimpin agama yang berpengaruh itu dijatuhkan penjara empat tahun kerana merahsiakan keputusan ujian Covid-19. Gambar: AP

Polis Indonesia menembak gas pemedih mata dan air bagi meleraikan himpunan penyokong pemimpin agama berhaluan keras yang dijatuhkan hukuman penjara selepas didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu berhubung Covid-19 pada Khamis.

Rizieq Shihab, 55, atau lebih dikenali sekali Habib Rizieq dijatuhkan hukuman empat tahun penjara kerana memberikan kenyataan kononnya beliau sihat walaupun mengetahui keputusan ujian menunjukkan beliau mungkin telah dijangkiti dengan virus tersebut.

Ribuan penyokong berhimpun di luar kawasan mahkamah di Jakarta bagi menyatakan sokongan kepada pemimpin Front Pembela Islam (FPI), sebuah kumpulan berhaluan keras yang telah diharamkan awal tahun ini.

Polis berkata pihaknya telah menahan lebih dari 150 penunjuk perasaan sebelum hukuman terhadap Rizieq dijatuhkan.

Keputusan mahkamah pada Khamis itu merupakan hukuman terbaru dijatuhkan kepada beliau selepas mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara pada Mei lalu kerana mengadakan perhimpunan ceramah yang menghimpunkan puluhan ribu pengikutnya selain tidak mengendahkan sekatan pergerakan di negara yang dilanda krisis terburuk pandemik di Asia itu.

Rizieq menggesa penyokongnya untuk hadir ke himpunan tersebut bagi majlis sambutan maulid nabi dan perkahwinan anak perempuannya.

Majlis itu menyaksikan kehadiran besar pengikutnya daripada warga Muslim Indonesia tanpa mengendahkan SOP pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Rizieq kemudian dibawa ke hospital bagi rawatan selepas disyaki dijangkiti Covid-19.

Namun, berita beliau dibawa ke hospital tidak diuar-uarkan dan dirahsiakan oleh pengarah hospital yang turut dijatuhkan hukuman penjara setahun kerana bersubahat.

Pemimpin kumpulan Islam yang karismatik itu kembali ke Indonesia tahun lalu selepas dilaporkan melarikan diri ke Arab Saudi pada 2017 selepas polis menamakan beliau sebagai suspek dalam sebuah kes pornografi.

Pertuduhan-pertuduhan berkaitan kes itu kemudian digugurkan.

Beliau ditahan kerana didakwa dengan beberapa pertuduhan berhubung pandemik Covid-19 pada Disember tahun lalu selepas polis Jakarta menembak mati enam anggota FPI dalam sebuah kejadian berbalas tembakan di sebuah lebuh raya.

Polis mendakwa ia adalah satu tindakan mempertahankan diri yang kemudian dibantah FPI.

FPI yang dipimpin Shihab dilihat sebagai kumpulan garis keras kerana menyasarkan kelab malam dan beerapa premis lain yang dianggap mereka tidak menjatuhkan moral, ia juga dilaporkan telah menyerang kumpulan minoriti Muslim yang dianggap kumpulan itu sebagai sesat.

Rizieq juga merupakan pemimpin utama dalam tunjuk perasaan besar-besaran pada 2016 yang membantah gabenor Jakarta ketika itu, Basuki Thahaja Punama yang didakwa telah menghina Al-Quran.

Ekoran dakwaan tersebut, Basuki yang merupakan seorang penganut Kristian,dijatuhkan hukuman dua tahun penjara kerana menghina agama.