- Iklan -
Berita

Operator pengangkutan awam di Sabah, Sarawak perlu patuhi SOP khusus

Jawatankuasa pengurusan bencana di kedua-dua negeri itu dibenarkan mengemukan SOP masing-masing dalam mengurus operator pengangkutan awam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Operator pengangkutan awam di Sabah, Sarawak perlu mengikuti SOP yang dikeluarkan JPBN. Gambar: Bernama
Operator pengangkutan awam di Sabah, Sarawak perlu mengikuti SOP yang dikeluarkan JPBN. Gambar: Bernama

Semua operator dan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam di Sabah dan Sarawak diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khusus yang berkaitan dengan negeri masing-masing bagi menguruskan operasi perkhidmatan mereka.

Kementerian pengangkutan dalam kenyataan hari ini berkata disebabkan keadaan tertentu yang unik bagi Sabah dan Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) masing-masing dibenarkan untuk mengemukakan SOP yang paling sesuai dengan persekitaran tempatan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, semua SOP ini perlu mendapat kelulusan sewajarnya daripada ketua pengarah kesihatan.

“Oleh demikian, terdapat perbezaan SOP tertentu di negeri Sabah dan Sarawak berbanding SOP yang dipraktikkan di seluruh negara.

“Ini tercermin dengan adanya perubahan terhadap Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) Peraturan 2021 berkuat kuasa 22 Jun 2021 yang merangkumi peruntukan khas yang berkaitan dengan pengendalian pergerakan di negeri Sabah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan ini dikeluarkan berikutan laporan seorang pemandu e-hailing di Sabah yang telah dikenakan notis kompaun pada 12 Jun lepas kerana cuba membawa pekerja sektor perlu merentasi sempadan dua daerah.

Susulan pindaan tersebut, JPBN Covid-19 Sabah telah mengeluarkan kenyataan memberi kebenaran rentas daerah meliputi Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang kepada perkhidmatan e-hailing dan teksi yang berdaftar dengan e-hailing dengan pematuhan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) tanpa memerlukan surat kebenaran rentas daerah daripada polis, berkuat kuasa semalam.

“SOP ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa bertujuan mengekang dan mencegah penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

“Kementerian pengangkutan akan terus memantau keadaan berkaitan dengan sektor pengangkutan dan logistik serta mengesyorkan kepada MKN langkah-langkah bersesuaian dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan teksi dan kenderaan e-hailing di Semenanjung Malaysia diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (sekatan pergerakan penuh) bermula 1 Jun 2021 serta dibenarkan untuk beroperasi antara daerah dan negeri hanya bagi tujuan membawa penumpang yang telah mendapat kebenaran pihak berkuasa berkaitan.

Pemandu teksi boleh mendapatkan surat kelulusan melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (Smile) di bawah seliaan MOT, https://application.mot.gov.my, manakala kelulusan untuk pemandu kenderaan e-hailing dikeluarkan oleh pengendali atau operator syarikat masing-masing.

“Para penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing untuk perjalanan antara negeri atau daerah perlu mendapatkan kebenaran pergerakan mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN,” menurut kenyataan itu.