Thursday, December 9, 2021

Bicara kes rasuah Bung Mokhtar, isteri ditangguh 26 Julai depan

Penangguhan bicara kes rasuah tersebut dimaklumkan kepada Bung Mokhtar dan Zizie Izette melalui e-mel.

Other News

Perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette A. Samad, yang dijadual didengar di Mahkamah Sesyen semalam, ditangguh ke 26 Julai, susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan pendakwa raya Mohd Sophian Zakaria ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini, berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh mahkamah menerusi e-mel kepada kedua-dua pihak sebelum ini.

“Mahkamah telah menetapkan tarikh baru selama lima hari bermula 26 hingga 30 Julai ini untuk sambung bicara dan saksi pendakwaan ke-19, iaitu bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Mohmad Isa Hussain akan menyambung keterangan apabila perbicaraan bersambung nanti,” katanya.

Kes itu sebelum ini ditetapkan untuk sambung bicara selama tiga hari bermula semalam (23 Jun) di hadapan hakim Rozina Ayob, namun ditangguh berikutan PKP 3.0.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 62, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, iaitu pengerusi bukan eksekutif Felcra pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles