- Iklan -
Berita

Guru kreatif komited bantu PdPR murid Orang Asli

Ia juga boleh dilaksanakan secara luar talian bagi kawasan yang kurangnya akses kepada peranti dan jaringan.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar Orang Asli etnik Mah Meri, Jerika Samri, 13, tekun mengulangkaji pembelajaran melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengawal penularan wabak COVID-19 ketika tinjauan di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey pada 21 Jun,  2021.  Gambar:  Bernama
Pelajar Orang Asli etnik Mah Meri, Jerika Samri, 13, tekun mengulangkaji pembelajaran melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengawal penularan wabak COVID-19 ketika tinjauan di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey pada 21 Jun, 2021. Gambar: Bernama

Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lepas memaksa sesi persekolahan dilaksanakan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam pendidikan.  

Apabila bercakap mengenai PdPR, umum masih beranggapan ia adalah kaedah pendidikan secara dalam talian semata-mata. 

Hakikatnya ia juga boleh dilaksanakan secara luar talian bagi kawasan yang kurangnya akses kepada peranti dan jaringan, dan kaedah itu boleh dilaksanakan dengan jayanya serta melatih seorang guru untuk menjadi lebih kreatif dalam aspek pengajaran.

Kegigihan guru-guru untuk mengatasi segala cabaran dalam meneruskan pengajaran terutama ketika masih wujud ancaman Covid-19 boleh dilihat dengan komitmen mereka melaksanakan PdPR untuk murid dan pelajar di kawasan luar bandar. 

Sebagai contoh, guru-guru di sebuah sekolah di perkampungan Orang Asli di Slim River, Perak mengambil pendekatan dengan menyediakan bahan pembelajaran secara “manual” kepada murid-murid.

Seorang daripada guru terlibat, Fathin Nabila Mohamed Nor Hashim, 30, berkata sekolahnya menggunakan beberapa kaedah PdPR secara luar talian dengan kebiasaannya guru mengedarkan modul latihan kepada murid mengikut minggu dan perkembangan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa.

Bertugas di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, beliau mengakui terdapat kekangan dari segi internet dan peranti di pihak murid yang menyebabkan banyak maklumat dan soal jawab tidak berlaku secara penuh, dan kerana itu kaedah lain perlu difikirkan bagi memastikan murid tidak tercicir.

Guru Bahasa Inggeris itu berkata guru-guru di sekolah itu mempelbagaikan usaha seperti menyediakan modul yang mudah untuk murid, menyediakan video ringkas bagi memudahkan murid memahami arahan dan latihan diberikan serta menggunakan kaedah berasaskan projek seperti diorama atau buku skrap.

“Modul yang mudah difahami ini murid tahu objektif perlu dicapai. Contohnya, untuk topik tatabahasa seperti penjodoh bilangan, nota yang diberikan berbentuk gambar tunggal dan banyak penjodoh bilangan boleh dibuat daripada gambar tunggal tersebut. Jadi murid tidak keliru.

“Dalam aktiviti atau latihan pula, murid melukis gambar yang mereka minat dan melabelkan gambar itu dengan penjodoh bilangan sesuai. Ini akan membuatkan murid seronok kerana melibatkan aktiviti melukis. Guru menggalakkan murid melukis gambar benda yang ada di sekeliling mereka.

“Oleh itu, guru tidak perlu memberi arahan panjang atau banyak supaya murid tidak keliru.  Arahan yang terlalu banyak akan menyebabkan murid keliru antara nota dan arahan,” katanya kepada Bernama.

Bagi murid yang ada capaian internet, Fathin berkata video pendek mengenai mata pelajaran tertentu akan dikongsikan kepada mereka melibatkan video berdurasi singkat seperti di aplikasi TikTok dan kaedah itu menarik minat murid Orang Asli kerana mereka menyukai hiburan.

Katanya, guru juga akan menyelitkan gambar atau video sebenar murid untuk menarik minat mereka menonton video tersebut, contohnya seperti menggunakan gambar pada temasya hari sukan sekolah yang sebenar untuk aktiviti membina ayat atau mencari kata kerja.

Beliau berkata kaedah PdPR berasaskan projek pula melibatkan “hands-on” dan bahan yang mudah didapati di rumah seperti membuat diorama, replika, kad ucapan atau aktiviti pendidikan seni dan reka bentuk yang mana murid akan diberikan tema untuk projek dan penghasilan projek adalah mengikut kreativiti sendiri.

Katanya, murid akan menghantar gambar proses membuat projek dan hasilnya kepada guru melalui aplikasi WhatsApp manakala bagi murid yang tiada capaian internet akan dinilai setelah murid boleh hadir ke sekolah.

Dalam pada itu, Muhammad Fadzli Najmi, 30, yang juga guru di sekolah sama berkata beberapa perkara boleh diambil kira bagi memastikan keberkesanan PdPR supaya murid Orang Asli tidak tercicir dalam pendidikan.

Antaranya sekolah atau pihak berkaitan boleh bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli atau Tok Batin bagi melantik dan mengupah penduduk kampung mempunyai latar belakang pendidikan yang baik untuk menjadi personal tutor kepada kumpulan kecil murid.

Fadzli yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia berkata tugas personal tutor itu tidak spesifik untuk mengajar tetapi lebih kepada membimbing murid untuk melaksanakan arahan guru dan memantau kerja mereka.

“Murid-murid ini jika diberikan bahan atau modul untuk mereka belajar, mereka tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk melaksanakan arahan atau kerja yang diberikan.

“Jadi cadangan lain ialah pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau JKKK boleh menyediakan peranti berkumpulan di kampung-kampung supaya guru boleh menjalankan PdPR secara bersemuka dalam talian seperti Google Meet dengan murid-murid. Ini bermakna kumpulan murid akan menggunakan satu peranti sahaja,” katanya.

Semoga kegigihan usaha guru-guru untuk mempelbagaikan PdPR dapat memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran terus berjalan dalam apa-apa jua keadaan tanpa mengira di mana lokasi pelajar atau murid berada.

Malah, kreativiti para guru juga akan memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik.