- Iklan -
Berita

‘Apa perlu saya lakukan?’: Gelandangan Sarawak kurang maklumat program vaksinasi

Ketika kerajaan negeri sedang pesat menjalankan program vaksinasi, wujud gelandangan yang masih tidak tahu bagaimana mendaftar.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mohd Firuz Abu Bakar menunjukkan kad pengenalannya di pasar terbuka di Kuching, tempat dia berteduh pada waktu malam. Di memiliki MyKad, namun tidak tahu bagaimana mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin.
Mohd Firuz Abu Bakar menunjukkan kad pengenalannya di pasar terbuka di Kuching, tempat dia berteduh pada waktu malam. Di memiliki MyKad, namun tidak tahu bagaimana mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin.

Setiap pagi, Mohd Firuz Abu Bakar bangun awal, dan kadang-kadang bangun pada subuh hari ketika cahaya matahari mula kelihatan.

Semakin awal dia bangun dari tidur, semakin banyak waktu dimiliki bagi membersihkan tong sampah di pusat bandar Kuching, mencari barang yang boleh dikitar semula untuk dijual.

Apa yang dicarinya itu tidaklah banyak, namun ia perlu dilakukan bagi lelaki berusia 38 tahun ini sejak “lockdown” Covid-19 dilaksanakan awal bulan ini.

Hidupnya bukanlah sejak dari awal demikian rupa.

Pada satu ketika dalam hidupnya, Firuz bekerja sebagai seorang pengimpal di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Namun pekerjaan itu turut memakan dirinya, ekoran kerjanya yang memang memiliki risiko bahaya, katarak menyerang mata Firuz, sehingga membuatnya cacat penglihatan.

Waktu terus berjalan, dan dia akhirnya hidup sebagai seorang gelandangan di jalanan seribu kilometer dari tempat yang pernah dipanggil sebagai rumahnya.

Ketika ini, Firuz menghabiskan hari-harinya berjalan di sekeliling pusat bandar Kuching, mencari surat khabar lama dan tin, sambil berharap dapat mencari kerja-kerja rencam untuk mendapat upah.

Pada waktu malam, dia berteduh di bangunan sebuah pasar di Jalan Power.

Tempat dia berteduh itu tidaklah selesa, namun cukuplah untuk berehat sebelum bergerak mencari tempat baru bagi berteduh, lebih-lebih lagi ketika sekatan tambahan dikenakan sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan Covid-19.

Sekarang Firuz sudah tahu dia perlu memakai pelitup muka setiap kali keluar di kawasan khalayak ramai.

Bagaimanapun, seperti ribuan orang lain yang kehilangan tempat tinggal, itulah cara boleh dilakukannya bagi menangkis virus tersebut.

Kerajaan negeri secara agresif berkempen untuk program vaksinasi Covid-19, namun Firuz tidak memiliki kesempatan untuk menempah slot vaksinasi dan bahkan kurang mengetahui bagaimana cara melakukannya.

“Saya tiada telefon bimbit,” katanya kepada MalaysiaNow di kawasan menurunkan barangan di pasar itu.

“Adakah saya layak? Bolehkah saya daftar tanpa telefon bimbit?”

Sekiranya Firuz tahu bagaimana mendaftar untuk mendapatkan slot vaksin, ada soalan lain yang mengganggu fikirannya.

“Kalau saya daftar dalam talian, alamat apa perlu saya masukkan? Apa yang harus saya lakukan?”

Pada April lalu, kerajaan Sarawak berkata pihaknya sedang aktif mendaftarkan para gelandangan kepada program vaksinasi kebangsaan sebagai sebahagian daripada usaha memastikan golongan itu tidak dijangkiti.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Fatimah Abdullah berkata, Sarawak memiliki rekod gelandangan dan mengetahui lokasi-lokasi mereka.

Namun, walaupun negeri secara agresif meningkatkan sasaran program vaksinasi, golongan seperti Firuz masih kekurangan maklumat mengenai apa yang perlu dilakukan.

Firuz sudah empat tahun tinggal di jalanan, namun pandemik Covid-19 yang menyebabkan ekonomi turut terkesan dengan pelbagai sekatan pergerakan, merupakan tempoh paling sukar buatnya.

“Ini adalah tempoh yang paling sukar,” katanya, merujuk kepada sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini.

“Biasanya saya dapatlah kumpul sekitar RM50 sehari daripada menjual tin untuk dikitar semula. Ini cukup untuk saya beli makanan dan sekotak rokok.”

Namun ketika ini, oleh kerana semakin kurang orang keluar dari rumah mereka, Firuz buntu, pendapatannya terhenti.

“Saya akan tidur kelaparan lagi malam ini,” katanya selamba.